Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany

KUALA LUMPUR – Operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terutamanya penugasan aset di laut masih dilaksanakan 24 jam seminggu tanpa sebarang kompromi dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan perairan negara walaupun berdepan pandemik virus maut Koronavirus 2019 (Covid-19) ketika ini.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, kapal-kapal dan unit-unit di barisan hadapan masih perlu melaksanakan rondaan dan pemantauan rapi di kawasan-kawasan operasi yang dipertanggungjawabkan.

“Operasi bersama Tentera Darat , Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan agensi-agensi maritim lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sedang giat dirancang bagi menghalang sebarang kemungkinan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) khususnya dalam kalangan semua negara sedang dilanda kemelut COVID-19 ini.

“Aset-aset TLDM perlu sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga untuk diatur gerak pada ketika ini memandangkan peratus kebarangkalian kemasukan PATI adalah tinggi, selain menjalankan tugas hakiki TLDM demi melindungi kedaulatan dan keselamatan perairan negara,” katanya dalam perutusan khas sempena sambuatn Ulang Tahun TLDM ke-86 hari ini.

Menurut Mohd Reza, tahun ini merupakan tahun untuk menangani isu kesiagaan Armada TLDM yang terlaksana berlandaskan empat teras hala tuju ditetapkan.

Teras-teras tersebut adalah:

  • Mengutamakan kesiagaan Armada
  • Memfokuskan pembangunan semula Armada TLDM berlandaskan perancangan Program Transformasi TLDM 15 ke 5 yang diubah suai
  • Meningkatkan integrasi dan sokongan aspek kebersamaan atau jointness
  • Menyediakan modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan

Katanya, dalam memastikan kesiagaan Armada TLDM sentiasa di tahap tertinggi dan memenuhi keperluan operasi, pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan di bawah kategori Kelengkapan antaranya adalah perolehan empat buah Littoral Mission Ship atau LMS.

Selain kesiagaan armada, katanya, beberapa projek pembinaan juga telah dilaksanakan seperti Pembangunan Pusat Latihan PASKAL dan Pangkalan TLDM Sg Lunchoo dan kedua-dua projek tersebut telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM pada 1 Oktober 2019 dan 1 April llau.

“Kini TLDM sedang menumpukan pelaksanaan projek perumahan iaitu pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera atau RKAT di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sebanyak 1036 unit dan Pusat Hidrografi Nasional sebanyak 202 unit dari pelbagai kelas.

“Sebagai organisasi yang mementingkan kesejahteraan warga, TLDM juga telah mewujudkan Kontrak Senggaraan Rumah Kediaman berkonsepkan Comprehensive Maintenance terhadap RKAT di Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu,” tegasnya.

Ulas Mohd Reza lagi, konsep berkenaan merupakan yang pertama di dalam ATM yang memberi fokus kepada elemen senggaraan pembaikan awalan, senggaraan berjadual dan senggaraan incidental dan di samping itu, TLDM sedang mengambil inisiatif melaksanakan sewaan perumahan secara berkelompok di beberapa kawasan seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Beliau memaklumkan bahawa beberapa projek sewaan seperti ini juga dirancang untuk diperluas di sekitar kawasan Lembah Klang dan Labuan bagi memenuhi keperluan perumahan warga the Navy People dibawah Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Bawah RMK-12, katanya TLDM Komited terhadap pemodenan dan pembangunan keupayaan berlandaskan Program Transformasi 15 ke 5, pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan dan dirancang bermula dengan RMK11 terdahulu dan dijangka selesai hingga RMK-17 secara berperingkat.

“Bagi RMK-12 iaitu bagi tempoh 2021 hingga 2025, berikut adalah projek baharu yang dirancang mengikut kategori iaitu untuk kategori projek kelengkapan, TLDM telah merancang Perolehan 8 buah Littoral Mission Ship Batch 2, 2 buah Multi Roles Support Ship, 2 buah Anti-Submarine Warfare Helo, 5 buah Helikopter Operasi Maritim Batch 2, 8 buah Special Force Boat Batch 2, 12 buah Fast Interceptor Craft Batch 2, 1 set Unmanned Aerial System, Mine Hunting System, Mine Disposal System, Bridge Simulator, Action Speed Tactical Trainer dan projek Pasang Pulih
bagi kapal-kapal TLDM.

“Seterusnya bagi kategori Projek Pembinaan, TLDM merancang pembinaan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu, pembinaan Markas Wilayah Laut 2 di Sandakan, pembinaan bangunan tambahan bagi Wisma Laskar di PTKK dan juga pembangunan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan.

“Yang terakhir iaitu bagi kategori Projek Perumahan, TLDM juga merancang untuk membina Rumah Keluarga Angkatan Tentera di KD Sri Sandakan,” ujarnya.

“Di sebalik kesemua inisiatif ini saya berharap walaupun masih berjuang memutuskan rantaian COVID-19 dan terikat dengan PKP, kita seharusnya bijak serta kreatif mencari peluang untuk meneruskan perjalanan tugasan harian dan rutin yang perlu dilaksanakan sebagai individu atau organisasi di dalam TLDM.

“Pandemik ini mengajar kita untuk lebih inovatif dalam penggunaan teknologi dari segala aspek seperti operasi, latihan dan sebagainya dan teruskan konsep “life must go on” memastikan segala tugas dan tanggungjawab digalas terlaksana menepati sasaran ditetapkan.

“Penting sekali, warga TLDM yang berada di kawasan operasi, anda sentiasa membanggakan saya dan keluarga anda dan berharap terus cekal dan tabah dalam melunaskan tanggungjawab terhadap negara selain sentiasa siap sedia untuk menghadapi cabaran dan halangan terutamanya menghadapi kekurangan sumber dalam memastikan TLDM sentiasa berada di haluan sebenar selari dengan situasi dan keadaan semasa,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast