Universiti Kebangsaan Malaysia

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan 10 buah bas bagi menghantar pelajar-pelajarnya ke kampung masing-masing.

Menurut maklumat yang diterima MalaysiaGazette, seramai 150 pelajar UKM akan dibawa pulang ke kawasan masing-masing mulai malam ini.

“Pergerakan pulang akan bermula jam 11 malam ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak,” kata maklumat berkenaan.

Dalam pada itu, proses sanitasi bagi kesemua bas yang akan membawa pulang 150 pelajar UKM itu dimulakan jam 5 petang tadi.

Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MKPj), Alam Flora dan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat.

Awal hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 863 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang yang dibenarkan balik kampung akan mula bergerak malam ini dari zon tengah ke kediaman mereka di zon utara.

UKM merupakan antara sembilan IPT yang terlibat dalam program itu bagi zon tengah.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kata Ismail, memaklumkan seramai 265 pelajar akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam 28 April.

Katanya, proses penghantaran pulang akan membabitkan 49 bas ke 17 destinasi. -MalaysiaGazette