KUALA LUMPUR – Pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri atau nama samarannya Beto memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membantu perniagaan sate milik keluarganya.
Apatah lagi, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpulan walaupun selepas PKP tamat memberi isyarat saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak akan disambung dalam masa terdekat.
Beto mengambil tanggungjawab untuk menambah pendapatan keluarganya dengan menjual sate menerusi kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD) sepanjang bulan Ramadan ini.
Menurut satu perkongsian dalam akaun Instagram milknya, pemain berusia 25 tahun itu juga mengatakan sekiranya beliau tidak lagi bermain bola sepak, menjual sate itu bakal menjadi pekerjaan tetapnya.
“Jika tidak bermain bola mungkin ini pekerjaan saya menjual sate. Rupanya tak semudah yang kita sangkakan menghantar makanan dari rumah ke rumah setiap hari.
“Perlu banyak bersabar melakukan kerja ini dan yang paling penting ikhlas berniaga in shaa Allah berkat. Kepada abang abang rider luar sana anda semua memang luar biasa” tulisnya.
Sebelum ini, beberapa pemain dan jurulatih pasukan lain telah pun menzahirkan keresahan mereka mengenai kemungkinan Liga-M dibatalkan kerana ianya akan memberi impak kepada pendapatan pemain, pegawai dan kakitangan pasukan secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette