MELBOURNE – Harga minyak jatuh dalam dagangan hari ini, meluaskan kerugian pada sesi sebelumnya akibat kebimbangan kapasiti stor minyak mentah dunia dan jangkaan permintaan minyak pulih secara perlahan-lahan susulan penarikan semula sekatan perjalanan secara berperingkat-peringkat.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) susut sebanyak 7.1% atau AS$0.77 kepada AS$12.01 setong.

WTI merudum sebanyak 25% semalam.

Manakala kontrak hadapan Brent pula jatuh sebanyak 3.5% pada awal dagangan kepada AS$19.72 setong. Penanda aras minyak global ini menyusut 6.8% pada hari Isnin.

Kontrak bagi penghantaran bulan Jun berakhir pada 30 April ini.

Pakar strategi berkata, sebahagian daripada penurunan WTI disebabkan oleh instrumen seperti dana dagangan pertukaran untuk kontrak bulan Jun dijual lebih awal dan membeli beberapa bulan kemudian pada tahun ini untuk mengelakkan kerugian besar seperti minggu lalu.

Ketika itu harga dagangan WTI jatuh di bawah sifar.

”Secara jelas semuanya disebabkan disebabkan pasaran hadapan WTI,” kata Strategi Kanan Komoditi di ANZ Bank, Daniel Hynes.

Kebimbangan sekarang ialah tiada tempat simpanan untuk menyimpan semua minyak yang belum digunakan disebabkan kejatuhan aktiviti ekonomi dunia ekoran peraturan ketat yang dilaksanakan di seluruh dunia bagi membendung wabak koronavirus.

Malah, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan sekutu-sekutunya turut bersedia untuk mengurangkan pengeluaran hampir 10 juta tong sehari mulai 1 Mei ini.

Namun, langkah itu masih belum cukup untuk mengimbangi penurunan sebanyak 30 juta tong sehari disebabkan usaha membendung virus tersebut. – MalaysiaGazette