KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) melanjutkan tempoh penggantungan sementara bagi jualan singkat untuk dua bulan lagi sehingga 30 Jun, 2020.

Penggantungan sementara tersebut, yang bermula 24 Mac, 2020 pada awalnya dijangka berakhir pada 30 April, 2020.

“Pelanjutan penggantungan sementara tersebut akan memastikan langkah pengurusan pasaran kekal tersedia, untuk menguruskan risiko di tengah-tengah persekitaran pasaran yang amat tidak menentu dan mencabar ketika pandemik COVID-19,” menurut kedua-dua pihak itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Mereka berkata, ia juga bertujuan mengurangkan mana-mana aktiviti spekulasi berlebihan dalam pasaran.

Menurut kenyataan itu, tindakan menggantung sementara jualan singkat diperkenalkan oleh SC dan Bursa Malaysia sebagai sebahagian siri langkah proaktif untuk mengurangkan potensi risiko yang timbul dengan meningkatnya ketidaktentuan dan ketidakpastian di peringkat global berikutan pandemik tersebut.

Ia melibatkan penggantungan Jualan Singkat Intra Hari (IDSS) dan Jualan Singkat Terkawal (RSS), serta jualan singkat oleh Pedagang Harian Proprietari.

Penggantungan tersebut bagaimanapun tidak membabitkan Jualan Singkat yang Dibenarkan (PSS), kata SC dan Bursa Malaysia.

“Penggantungan sementara jualan singkat tersebut kekal sebagai langkah jangka pendek demi kestabilan dan keyakinan terhadap pasaran modal Malaysia,” kata kedua-dua pihak itu.

SC dan Bursa Malaysia berkata mereka akan terus memantau perkembangan yang mempengaruhi pasaran sekuriti dan menilai kecukupan langkah sedia ada bagi menyokong pasaran yang teratur dan mengurangkan potensi risiko. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast