Gambar hiasan

PIHAK berkuasa yang berkaitan seperti pihak polis dan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengambil
langkah berjaga – jaga terhadap kes keganasan rumah
tangga yang mungkin berlaku dengan banyak sepanjang
tempoh perintah kawalan pergerakkan (PKP) dalam negara
kita. Perintah kawalan pergerakkan yang sepatutnya sudah
tamat pada 28 April yang lalu telah dilanjutkan tempohnya
sehingga 12 Mei susulan penularan kes jangkitan Novel
Koronavirus (COVID-19). Perintah Kawalan Pergerakan ini
menyebabkan ramai orang kini terpaksa berada dalam rumah masing-masing dan tidak dibenarkan bergerak bebas dengan sepenuhnya seperti yang dilakukan sebelum ini.

Walaupun keberadaan orang ramai dalam rumah ini dapat
memberi ruang dan peluang untuk orang ramai duduk
berehat dan melindungi diri masing – masing daripada
jangkitan Covid-19 ini, ia juga boleh memberi ruang dan
peluang untuk berlakunya kes keganasan rumah tangga.
Tidak semua orang sesuai dan suka untuk duduk dirumah
untuk satu tempoh yang lama terutamanya jika terdapat
mana–mana pasangan ataupun ahli keluarga yang
melakukan keganasan rumah tangga. Perintah Kawalan Pergerakan yang boleh menjadi satu tempoh gembira dan
bersuka ria untuk bersama keluarga kepada sesetengah
pihak namun pada masa yang sama juga boleh menjadi satu
masalah yang besar ataupun satu mimpi yang ngeri kepada
sesetengah pihak yang lain.

Keganasan rumah tangga ini berlaku apabila seseorang
individu dalam sesebuah rumah tangga itu mengambil satu
tindakkan yang diluar batasan kemanusiaan dengan
melakukan keganasan dalam rumah tangga mereka sendiri.
Pelbagai jenis keganasan boleh berlaku dalam sesebuah
rumah tangga seperti memukul, menampar, membaling
sesuatu objek, menendang, menolak atau menggunakan
senjata seperti pisau, kayu, kapak, parang, botol, senjata api
dengan tujuan untuk mencederakan atau menyakitkan pihak
yang yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga ini.
Selain daripada itu, terdapat juga kes yang melibatkan
penderaan dalam bentuk lisan dan meninggalkan kesan
yang mendalam terhadap emosi dan mental mangsa yang
terlibat seperti perbuatan mencaci, mengeluarkan kata –
kata yang kesat dan tidak sedap didengar, mengejek,
mencerca, dan pelbagai lagi.

Walaupun, peratusan tinggi mereka yang menjadi mangsa
keganasan rumah tangga adalah kaum wanita atau isteri,
namun terdapat juga beberapa pihak dalam keluarga turut
menjadi mangsa keganasan dalam sesebuah keluarga iaitu
kaum lelaki atau pihak suami, kanak-kanak, warga tua,
atau ahli keluarga yang lain. Kesemua mereka yang berada
dalam keluarga tersebut boleh menjadi mangsa keganasan
rumah tangga sekiranya mereka didera oleh ahli keluarga
yang lain. Pihak mangsa boleh mendapatkan segala jenis
bantuan yang perlu seperti yang telah diperuntukkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] yang telah lama dikuatkuasakan di dalam negara kita iaitu sejak 1 Jun 1996.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] ini dibaca bersama dengan Kanun Keseksaan [Akta 521]. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] terbabit telah dipinda buat kali pertama pada tahun 2012 dengan meluaskan tafsiran keganasan
rumah tangga meliputi penderaan emosi, mental dan psikologi serta penggunaan bahan yang memabukkan pada mangsa. Pada  tahun 2017 yang lalu, pindaan terbaru telah dilakukan terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] berkenaan dengan melakukan proses penambahbaikan terhadap Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) di samping memperkenalkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) terhadap pihak mangsa. Dengan adanya Akta Keganasan
Rumah Tangga 1994 [Akta 521] ini, keganasan rumah
tangga bukan lagi dilihat sebagai satu perkara peribadi tetapi
ianya satu kebimbangan masyarakat dan ianya adalah satu
bentuk jenayah.

Mana – mana pihak yang mendapati diri mereka menjadi
mangsa keganasan rumah tangga ini perlu mendapat
bantuan serta menghubungi pihak – pihak yang berkaitan
dalam negara untuk dapatkan pertolongan serta perlindungan. Antara langkah yang boleh diambil oleh mangsa keganasan rumah tangga ini adalah dengan menghubungi mana – mana organisasi atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan khususnya pertubuhan perlindungan kaum wanita yang banyak berada dalam negara kita.

Organisasi serta NGO ini boleh menyediakan khidmat kaunseling serta menawarkan khidmat nasihat kepada pihak mangsa. Organisasi serta NGO ini juga selalunya memiliki pekerja sosial mereka sendiri yang boleh membantu serta menemani pihak mangsa untuk ke balai polis, hospital atau ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan lanjut. Sekiranya mangsa memerlukan perlindungan kecemasan, mereka boleh menghubungi Talian Kasih di 15999 yang disediakan oleh
pihak Kementerian Wanita dan Keluarga atau pergi terus ke
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berdekatan
dengan tempat duduk mereka, memaklumkan pegawai JKM
berkenaan untuk mendapatkan Perintah Perlindungan
Kecemasan (EPO).

Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) ini diperkenalkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017. Mana – mana mangsa yang mempunyai risiko untuk dicederakan secara fizikal atau telah didera secara fizikal boleh memohon EPO dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah mereka. EPO akan dikeluarkan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat yang diberi kuasa pada bila – bila masa (24 jam). EPO hanya boleh
digunakan selama 7 hari dan tidak boleh diperbaharui. Mangsa tidak perlu membuat laporan polis untuk memohon EPO terbabit. Mangsa juga boleh pergi dapatkan bantuan di Pusat Krisis Bersepadu (OSCC). OSCC ini terdapat di semua hospital kerajaan. Ianya adalah bertempat di Jabatan Kecemasan Hospital. Pusat ini merupakan sebuah tempat yang memberi rawatan dan pertolongan yang diperlukan oleh pihak mangsa.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast