KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengakui dana sebanyak US$50 juta dari kerajaan Qatar telah disalurkan melalui Qatar Charity (QC) kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) semasa Pakatan Harapan memerintah untuk membantu pelarian Rohingya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga mengakui Qatar telah menyatakan hasrat untuk menyalurkan bantuan tersebut sejak 2016 lagi iaitu ketika Malaysia dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah bertindak sebagai badan penyelaras bagi bantuan tersebut selaras dengan satu keputusan Kabinet pada 5 April 2019.

“Keputusan Kabinet itu juga melantik Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pengerusi jawatankuasa pemantau bagi program ini dan melapor terus kepada satu jawatankuasa tertinggi yang saya pengerusikan sehingga 23 Februari 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Azizah juga merupakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kerajaan PH.

Artikel berkaitan: BN tidak terima dana bantu pelarian Rohingya – Ahmad Zahid

Dalam penjelasan panjang lebar itu, beliau berkata, Jemaah Menteri telah mengolah struktur pentadbiran bagi memastikan ketelusan dalam perlaksanaan dan pengendalian program ini sesuai dengan penekanan kerajaan PH ke atas akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.

“Apabila PH mengambilalih Putrajaya pada Mei 2018, kami dimaklumkan akan hasrat Qatar untuk menyalurkan bantuan ini sejak 2016 lagi, dan kami bersyukur dapat menjadikannya satu kenyataan dalam tempoh tidak sampai 18 bulan selepas kami ke Putrajaya.

“Bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya di Malaysia ini menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) dalam tiga sektor, iaitu kesihatan, pendidikan dan mandiri kehidupan

“Bagi pelaksanaan sektor kesihatan, satu perjanjian projek telah dimeterai pada 13 September 2019 di antara YKN, QC dan tiga buah NGO yang terlibat dalam sektor ini, iaitu Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysia Relief Agency (MRA), dengan agensi penyelaras (iaitu YKN) telah melalui proses ketekunan wajar (“due diligence”) yang sewajarnya,” ujarnya.

Wan Azizah mendedahkan perjanjian itu untuk tempoh setahun sehingga 12 September 2020 dan akan disambung setiap tahun selama tiga tahun, dengan peruntukan tahunan sebanyak USD5 juta atau USD15 juta untuk tiga tahun.

Jelasnya, walaupun Kerajaan Qatar memberi komitmen untuk menyalurkan bantuan ini selama tiga tahun, ia juga memberi iltizam akan kelestarian program ini yang memungkinkan ia disambung selepas tiga tahun mengikut keperluan pada waktu tersebut.

“Bantuan dari Qatar ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan sebahagian daripada beban yang selama ini dipikul pihak kerajaan berkenaan pelarian Rohingya dan dengan itu manfaatnya dapat dialihkan kepada rakyat Malaysia.

Artikel berkaitan: Bantu Rohingya kerana dasar perikemanusiaan – Ahmad Zahid

Baru-baru ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan BN tidak pernah menerima dana daripada Qatar untuk membantu pelarian Rohingya di negara ini walaupun inisiatif yang berkaitan telah dilaksanakan dan Qatar juga telah memberi komitmen.

Kenyataan Ahmad Zahid menyusul selepas beberapa pihak menuduh kerajaan BN telah memperoleh dana tersebut ekoran video bekas Timbalan Perdana Menteri berucap mengenai pelan pembangunan pelarian Rohingya yang tular di media sosial.

Mengulas kenyataan tersebut, Wan Azizah berkata, Ahmad Zahid sepatutnya berhubung terus dengan Kementerian bagi mengetahui soal sumbangan itu.

“Zahid sebagai Presiden UMNO, sebuah parti yang sekarang ini bersama kerajaan Perikatan Nasional, seharusnya boleh memperolehi segala maklumat berkaitan hal ini hanya dengan berhubung dengan Kementerian.

“Tetapi berterima kasih kerana ini memberi saya peluang untuk memaklumkan berkaitan dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkaitan inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Pandan menyeru kerajaan Myanmar supaya mengambil tanggungjawab ke atas eksodus besar-besaran kaum Rohingya.

Katanya, tanggungjawab ini tidak sepatutnya diserahkan kepada negara-negara lain terutama negara jiran.

“Pada masa yang sama, kami juga memikirkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan. Kita juga mesti menjaga kebajikan rakyat Malaysia sendiri yang memerlukan terutama dalam situasi semasa,” katanya. –MalaysiaGazette