Pihak transit aliran ringan (LRT) membuat tanda jarak sosial untuk penumpang bagi mencegah penularan wabak Covid-19 pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mewartakan semua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ia dikuatkuasakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanpa pewartaan polis dan pihak berkuasa lain tidak boleh melaksanakan penguatkuasaannya.

“Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah diwartakan dan berkuatkuasa 29 April hingga 12 Mei.

“Saya nak maklumkan bahawa semua PKP dari pertama, kedua, ketiga dan empat pun kerajaan mewartakan. Memang kita wartakan sebelum PKP itu berkuatkuasa dan dilaksanakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menafikan dakwaan seorang peguam yang mengatakan kerajaan tidak mewartakan PKP.

Terdahulu, Ismail Sabri mengesahkan terdapat beberapa kelonggaran pada PKP fasa keempat yang bermula hari ini, termasuk kebenaran keluar rumah berdua dan jarak melebihi 10 kilometer untuk urusan yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk PKP fasa keempat akan diperincikan esok oleh kementerian terbabit sebelum ia diumumkan.

Ia termasuk operasi taska setelah kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi sepenuhnya mulai hari ini selain kaedah pembayaran zakat fitrah khususnya bagi golongan warga emas yang tidak cekap menggunakan perkhidmatan atas talian seperti yang ditetapkan baru-baru ini. – MalaysiaGazette