Antara penuntut UPM yang terlibat dalam penghasilan PPE di Makmal Teknologi Pakaian Fakulti Pengajian Pendidikan .

SERDANG – Makmal Teknologi Pakaian Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan sekitar 50 hingga 100 unit pakaian peralatan perlindungan diri atau PPE sehari untuk memenuhi keperluan kakitangan Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof Dr. Samsilah Roslan berkata, proses jahitan di makmal tersebut mendapat penyertaan daripada lebih 20 pelajar dan kakitangan UPM.

Makmal ini dilengkapi dengan 32 mesin jahit industri, 6 mesin jahit tepi, 2 mesin jahit lubang butang, satu mesin pemotong fabrik dan pelbagai peralatan menjahit.

Menurutnya, mereka mula membeli PPE bagi kegunaan staf mereka semasa wabak Covid-19 berlaku tetapi bekalan semakin sukar didapati dan harganya turut meningkat.

“Ini menyebabkan kakitangan PKU mula menjahit sendiri PPE sejak pertengahan bulan Mac lalu dengan membawa mesin jahit dari rumah,” katanya.

Sementara itu pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Dr. Rahimah Jamaluddin berkata, beliau mempraktikan proses penghasilan PPE menggunakan sistem pengeluaran besar-besaran seperti di industri pembuatan pakaian.

Terdapat stesen pemotongan, stesen menjahit getah lengan, stesen mencantum lengan ke badan, stesen menjahit kun pada garis leher dan terakhir sekali stesen pembungkusan dan kemasan akhir.

Makmal Teknologi Pakaian Fakulti Pengajian Pendidikan yang dijadikan pusat membuat PPE.

“Aplikasi sistem kerja secara pengeluaran besar-besaran dan pemotongan fabrik menggunakan mesin pemotong elektrik dapat meningkatkan penghasilan PPE kerana pelajar telah menguasai kemahiran bagi bidang tugas masing-masing.

“Kaedah ini dapat meminimakan kesilapan yang mungkin berlaku dan dapat menjaga keselamatan pelajar sepanjang proses penghasilan PPE dijalankan,” katanya.

Penuntut Pentadbiran Perniagaan, Wan Nur Syafiqah Wan Norhisham, 22, yang turut serta dalam Projek Sentuhan Prihatin FPP & PKU Membendung Wabak Koronavirus itu memberitahu, dia terlibat sama untuk mempelajari sesuatu yang baharu di luar bidang pengajiannya.

“Pada awalnya saya hanya ditugaskan untuk memotong fabrik tetapi apabila melihat rakan-rakan lain menjahit, saya teringin belajar menjahit PPE,” katanya.

Menurut seorang lagi pelajar Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Izzah Shahira Anuar, 22, berkata, kaedah menjahit dan demonstrasi yang ditunjukkan oleh Dr. Rahimah membolehkan dia belajar menjahit dalam tempoh yang singkat.

Matlamat awal penubuhan Makmal Teknologi Pakaian adalah untuk pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar peringkat Bachelor Pendidikan Sains Rumah Tangga yang sudah ditawarkan sejak tahun 1979.

Makmal itu turut digunakan untuk program-program TVET yang lainnya seperti kegunaan pelajar yang mengambil subjek minor Reka Bentuk dan Teknologi, selain memberi latihan kemahiran kepada pelajar, guru sains rumah tangga, guru kolej vokasional dan komuniti setempat melalui penganjuran bengkel menjahit serta kursus jangka pendek. – MalaysiaGaazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast