Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengagihkan bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 selepas 4 Mei depan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tindakan itu perlu kerana kebenaran sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi boleh mengakibatkan kes positif Covid-19 meningkat.

“Kita akan pantau dari segi penguatkuasaan, jadi kita akan lihat pada penguatkuasaan setiap agensi dan kementerian. Yang pasti mereka kena patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Kalau mereka tidak patuh (mereka) akan lihat tindakan kita. Kalau ada kes positif di satu kawasan atau lokaliti, kita akan jalankan PKPD dan tutup kawasan tersebut serta laksanakan saringan dan kita pasti akan mengasingkan mereka yang positif dan kuarantin mereka yang ada kontak di lokaliti itu sama di kilang dan sebagainya.

“Itulah cara kita untuk lihat bagaimana kita dapat memantau dan mengambil tindakan yang seterusnya,” katanya dalam sidang media harian di KKM, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata bermula Isnin depan, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi.

Katanya, ia tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Perkara itu, kata Muhyiddin, diputuskan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. – MalaysiaGazette