Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua majikan yang beroperasi di zon merah dan kuning Covid-19 digalakkan memastikan pekerja mereka menjalani saringan yang dilaksanakan di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ujian ini disediakan secara percuma oleh Perkeso.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, PSP ini meningkatkan jaminan kepada pekerja bahawa mereka bekerja di persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat serta bebas Covid-19.

Dengan adanya kaedah pencegahan yang dipatuhi majikan dan pekerja, negara akan dapat mencegah gelombang baru jangkitan Covid-19, yang mungkin timbul dari kluster tempat kerja seperti yang dialami di negara lain.

Mengulas mengenai permulaan semula operasi ekonomi mulai esok, Saravanan meminta semua majikan dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

Katanya, pembukaan ekonomi dengan kapasiti 100% akan meningkatkan pergerakan pekerja, sekali gus boleh meningkatkan risiko penularan koronavirus.

Sehubungan itu, ujar beliau, adalah amat penting bagi semua majikan dan pekerja mematuhi SOP.

”Dalam situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya seperti pandemik peringkat global ini, keselamatan dan kesihatan
pekerja adalah amat penting dalam memastikan semua pekerja kekal sihat sewaktu menjalankan pekerjaan masing-masing.

”Langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial ketika berulang-alik ke tempat kerja dan berada di tempat
kerja, pemeriksaan suhu badan, penggunaan topeng muka, mencuci tangan dengan kerap dan menghindari tempat yang
sesak dengan orang mesti dititikberatkan oleh majikan dan memastikan ianya dipatuhi oleh semua pekerja,” tambah Saravanan.

Tegasnya, keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa menjadi keutamaan di negara ini dan kementerian ini berusaha sedaya upaya untuk memastikan kesihatan dan ekonomi negara dapat mengatasi cabaran terbesar pada abad ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast