Replika projek Merdeka 118 di Kenanga International Building, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR- Projek pembinaan Merdeka 118 milik Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mungkin siap lewat dua atau tiga bulan berbanding jangkaan awal berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jalil Rasheed berkata, kerja-kerja pembinaan akan disambung semula tidak lama lagi selepas kerajaan mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak semalam yang membenarkan hampir kesemua aktiviti ekonomi termasuk pembinaan dijalankan.

“Kami sedang membuat persiapan untuk memulakan semula kerja-kerja pembinaan projek tersebut termasuklah dalam memastikan penjarakan sosial diamalkan di tapak pembinaan, pengurusan pekerja supaya kawasan pembinaan tidak terlalu padat dan pemeriksaan suhu pekerja binaan dan sebagainya.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan dengan keadaan semasa dan ini menyebabkan projek ini mungkin dilanjutkan dua atau tiga bulan lagi.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan semula pada minggu ini,” katanya semasa taklimat media secara maya sempena pelancaran Pelan Strategik Tiga Tahun PNB, Focus 4.

Tambah Jalil, sebelum PKP, kerja-kerja pembinaan menara Merdeka 118 telah pun 50 peratus siap yang merangkumi 111 tingkat.

Katanya, tinggal tujuh tingkat lagi yang perlu disiapkan sebelum ia sampai ke struktur teras berpusat.

Dalam pada itu, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menjangkakan bangunan ikonik yang bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia itu mengatasi Exchange 106 dan Menara Berkembar Petronas, akan siap pada akhir 2021.

Katanya, PNB akan menduduki 17 tingkat di bangunan tersebut.

“Kami juga akan beroperasi di empat tingkat pelantar pemandangan yang mana ianya sangat mengujakan kerana anda boleh melihat hampir keseluruhan Kuala Lumpur.

“Akan ada banyak pameran yang bakal diadakan di empat lantai teratas tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast