KUALA LUMPUR – Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang terkorban ketika menjalankan tugas pada Ahad lalu.

Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin berharap agar waris dan ahli keluarga terus tabah menerima ketentuan ini.

Sesungguhnya pengorbanan Allahyarham adalah sesuatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

Sultan Selangor bertitah, baginda berdukacita dan kesal ke atas tragedi yang menimpa Allahyarham akibat dilanggar oleh pemandu mabuk ketika Allahyarham sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat.

”Beta memandang berat kes kemalangan cuai sebegini dan berharap si pelaku akan dikenakan hukuman yang setimpal,” titah baginda.

Allahyarham Safwan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor meninggal dunia selepas  sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang pemandu lelaki yang disyaki di bawah pengaruh alkohol merempuhnya.

Insiden itu berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa sedang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Jenazah Safwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast