Orang ramai dan pemilik premis mematuhi SOP ditetapkan kerajaan pada hari pertama PKPB dilaksanakan, semalam. foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menubuhkan pasukan khas Operasi Pematuhan bagi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara mulai hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, sebanyak 14 agensi kerajaan diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan untuk pelaksanaan pematuhan PKPB.

Antara agensi terlibat ialah polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Rela, Imigresen, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Turut terlibat ialah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan Kementeria Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Jumlah anggota pasukan khas ini akan ditambah lagi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Semua Ketua Polis Daerah telah menubuhkan Pasukan Pematuhan PKPD di peringkat daerah, dianggotai secara tetap oleh polis, ATM, Rela dan APM, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan ditambah untuk menganggotai pasukan ini.

“Pendekatan yang kita ambil ialah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri. Pasukan ini juga akan memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Namun, menurut Ismail Sabri, jika ada individu atau sektor industri gagal mematuhi peraturan setelah diberi nasihat dan amaran, Pasukan Pematuhan PKPD akan mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengenai hari pertama pelaksanaan PKPB semalam, beliau menjelaskan, kerajaan berpuas hati dengan pematuhan SOP dan kawalan kendiri yang ditunjukkan orang awam serta pemilik premis.

Kata beliau, walaupun pada mulanya banyak pihak, termasuk dirinya sendiri bimbang akan berlaku kekecohan dan huru hara, namun sangkaan itu meleset.

“Alhamdulillah, laporan dari polis menyatakan, walaupun terdapat peningkatan kereta dan kenderaan, tetapi keadaan masih terkawal.

“Pemilik premis kebanyakannya mematuhi SOP seperti memeriksa suhu badan, sanitasi tangan pelanggan yang masuk ke premis, malah ada pusat beli belah mengawal jumlah kemasukan orang ramai ke premis mereka.

“Orang ramai pun mematuhi peraturan seperti beratur hendak masuk premis, memakai topeng penutup mulut dan hidung, tidak berebut-rebut. Kenderaan awam pun sama, penumpang duduk dalam berjarak,” katanya.

Ismail Sabri berkata, semua itu menunjukkan rakyat mula mengamalkan kehidupan normal baru dan semakin menjadi budaya mereka.

Katanya, beliau sendiri pada mulanya tidak dapat membayangkan apabila kerajaan mahu melaksanakan PKPB dalam keadaan rakyat begitu lama berada di rumah dan tiba-tiba mereka dibebaskan.

“Tentulah keadaan jadi huru hara kerana ramai keluar. Tapi, Alhamdulillah semuanya terkawal.

“Rakyat terus dengan kawalan kendiri demi menjaga kesihatan diri dan jika ini diteruskan, saya yakin dan percaya kerajaan dapat mengekang penularan Covid-19.

“Jadi, kerajaan ucap terima kasih kepada rakyat kerana mampu melakukan kawalan kendiri bagi memastikan Covid-19 dapat disekat penularannya, begitu juga pemilik premis mula mematuhi SOP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast