Baskaran Sundaram, (tengah) bersama rakan seperjuangan dari Pertubuhan Bantuan Shasta Selangor bersama laporan polis di IPD Gombak petang tadi mendesak kerajaan, JKM dan polis menyiasat insiden dera dan aniaya kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan di Selayang yang tular dalam video baru-baru ini.-Foto" Baskaran Sundaram

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bantuan Shasta Selangor membuat laporan polis berhubung insiden penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang didakwa berlaku di sebuah rumah kebajikan di Selayang kelmarin yang terbongkar menerusi video yang tular dalam media sosial.

Pengurusnya, Baskaran Sundaram berkata, pihaknya terkejut dan kesal dengan insiden tersebut yang menimpa sebilangan kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan itu.

Sambil mengalu-alukan tindakan pantas polis menyelamatkan dan menghantar kanak-kanak didakwa dianiaya ke Child Interview Centre (CIC) dan sembilan remaja dirakam keterangan, beliau menggesa satu siasatan secara mendalam dijalankan ke atas rumah kebajikan khususnya pemilik premis tersebut.

“Kami difahamkan premis berkenaan beroperasi secara haram selama ini dan tidak memiliki premit yang sah dan disyaki dikelolakan oleh seorang inividu bergelar Datuk.

“Jika benar dakwaan itu, kami menyeru polis dengan kebijaksanaan siasat dan mengambil tindakan yang agak tegas ke atas pemilik dan jika boleh menyita serta menutup operasi premis itu serta merta supaya premis itu tidak beroperasi lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bersama bersama beberapa rakan dari pertubuhan itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak sekitar 4 petang tadi.

Beliau juga mahu polis menyiasat dakwaan wanita yang menular video berkenaan bahawa kanak-kanak berkenaan pernah diliwat dan dipukul sebelum ini.

Menurut Baskaran, pihaknya yang terkejut dengan dakwaan itu mahu polis bertindak tegas mengheret pelaku berkenaan ke muka pengadilan sekiranya hasil siasatan terbukti wujud sebarang unsur liwat atau penderaan ke atas kanak-kanak malang itu.

“Pertubuhan kami yakin dengan profesionalisme dan kecekapan polis kita dan menyiasat dan bertindak tegas dalam kes ini tanpa kompromi.

“Kita mahu kanak-kanak yang malang itu dijamin masa depan dan nasihat kami kepada para ibu bapa selepas ini supaya menyiasat teliti latar belakang dan operasi rumah kebajikan sebelum membiarkan anak di bawah jagaan pihak ketiga yang meletakkan keselamatan kanak-kanak dalam risiko.

“Malahan kami juga mendesak Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama PBT menyiasat premis-premis rumah kebajikan yang beroperasi secara haram dan diambil tindakan tegas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioneer Arifai Tarawe dalam kenyataan terbaharu malam tadi berkata, sembilan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun telah dirakam keterangan oleh polis bagi membantu siasatan satu kes rakaman video penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Katanya, insiden itu didakwa berlaku di sebuah rumah kebajikan di Taman Bidara Selayang Gombak, dekat sini.-MalaysiaGazette

 

Video dera kanak-kanak, polis ambil keterangan 9 remaja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast