Tiga wanita ditahan selepas mengeluarkan perkataan kesat dan menghalang tugas polis yang menegur tindakan salah seorang daripada mereka bermain mercun di sebuah taman perumahan di Kerayong, Bera

KUALA LUMPUR – Keterangan sembilan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun telah dirakam oleh polis bagi membantu siasatan satu kes rakaman video penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Insiden itu didakwa berlaku di sebuah rumah kebajikan di Taman Bidara Selayang Gombak, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioneer Arifai Tarawe dalam kenyataan terbaharu malam tadi berkata, laporan polis telah dibuat oleh seorang penduduk tempatan yang pernah tinggal selama minggu di rumah kebajikan itu selepas dia dihubungi orang awam berhubung penularan rakaman video tersebut.

“Wanita berusia 36 tahun itu dikatakan merakam sendiri video perbuatan yang didakwa penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak yang berlaku di rumah kebajikan itu sebelum membuat aduan penderaan menerusi rakaman yang sama.

“Tujuan wanita itu membuat rakaman supaya ia dapat ditunjukkan kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan supaya mangsa boleh dihantar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Wanita berkenaan dalam rakaman itu turut mendakwa kanak-kanak di rumah kebajikan itu dipaksa membuat sampul duit raya dan dipukul sekiranya kanak-kanak enggan menuruti arahan,” katanya.

Tambah beliau, dalam rakaman itu wanita berkenaan mendakwa beberapa kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut pernah menjadi mangsa liwat.

Menurut wanita itu lagi,  seorang wanita berusia 44 tahun dipercayai pemilik rumah kebajikan itu pernah membuat laporan polis bahawa ada sekumpulan individu bertindak menyerbu masuk rumah kebajikan berkenaan sambil mengeluarkan kata-kata ugutan dan cuba mengambil kanak-kanak di rumah kebajikan itu lebih kurang 2 pagi pada 5 Mei lalu .

“Setakat ini polis telah mengambil keterangan sembilan kanak-kanak berumur 13 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan.

“Kini kesemua mangsa iaitu kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun yang berada di rumah kebajikan itu berjaya diselamatkan dan dihantar ke Child Interview Center (CIC) dan Hospital Selayang bagi mendapatkan pemeriksaan perubatan dan rawatan.

“Kertas siasatan berhubung insiden itu telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 447 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang isu ini,” tegasnya.