Gambar arkib

KUALA LUMPUR- Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) dan Persatuan Kontraktor Malaysia (MBAM) merayu kerajaan supaya menanggung sepenuhnya kos ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas semua pekerja pembinaan bagi membolehkan mereka memulakan kerja di lokasi projek.

Dalam satu kenyataan bersamanya, Rehda dan MBAM memaklumkan, terdapat kontraktor yang telah gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menyebabkan penularan wabak Covid-19 di tapak projek.

Kontraktor tersebut menurut Rehda dan MBAM, perlu bertanggung jawab menanggung semua kos yang membabitkan penularan wabak tersebut.

“Pada ketika ini, kos ujian saringan Covid-19 adalah di antara RM350-RM650 setiap orang (bergantung kepada volum).

“Kos ini dikira tinggi untuk ditanggung oleh para kontraktor kerana setiap tapak pembinaan biasanya mempunyai ratusan orang pekerja.

“Ini akan menokok lagi beban yang ditanggung oleh syarikat-syarikat pembinaan selepas mereka mencatatkan kerugian apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu,” katanya.

Artikel berkaitan: RM1.15 bilion, lebih enam bulan diperlukan

Rehda dan MBAM juga meminta kerajaan untuk mempercepatkan proses ujian saringan kepada pekerja-pekerja pembinaan.

Katanya, maklum balas yang diterima daripada ahli-ahli mereka, daripada 14 pekerja yang dihantar untuk melakukan ujian saringan, hanya tiga sahaja berjaya diuji selepas beratur selama lima jam manakala yang lain terpaksa menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan slot masing-masing.

Itu pun masih belum tentu, katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. masa menggaji mereka tidak fikir,
    hanya fikir keuntungan semata2,
    bila jadi perkara macam nie tahu pulak nak suruh kerajaan bantu,
    kerajaan mesti wajibkan semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya menanggung sendiri kos saringan pekerja asing tersebut,
    kerajaan jangan bantu,
    lebih baik kerajaan bantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik,
    masih ramai rakyat Malaysia yang perlukan bantuan serta dokongan daripada kerajaan berbanding warga asing!!!

  2. Nak cepat suruh Hospital Swasta buat pemeriksaan, ujian Covid perlu menjadi kewajipan sebagaimana ujian kesihatan FOMEMA untuk warga asing.

Comments are closed.