KEJADIAN kemalangan maut angkara pemandu mabuk di lihat terus menghantui anggota masyarakat. Rakyat semakin bimbang apabila kes seumpama ini semakin menjadi-jadi dan tidak dapat dinoktahkan lagi. Terkini seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda yang dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS.
Dalam insiden yang cukup menyayat hati tersebut, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Jadi persoalannya sampai bila kita mahu manjakan pemandu mabuk
sehingga anggota masyarakat yang tidak bersalah seperti ini terus menjadi mangsa keadaan.
Ironinya ini bukan kes pertama yang berlaku di negara kita. Sudah ramai yang menjadi mangsa rakus pemandu mabuk seperti ini dan ternyata masih berterusan. Misalnya, statistik menunjukkan tidak kurang dari lima insiden membabitkan
pemandu mabuk telah berlaku sepanjang dua bulan pertama (Januari dan Februari) tahun ini.
Antaranya dua kejadian yang berlaku di Pulau Pinang, pertama, insiden menyayat hati yang berlaku pada 9 Februari, yang mana seorang pekerja kilang, 39 tahun , maut dan isterinya 36 tahun, cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar dari belakang oleh seorang pemandu lelaki berusia 34 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk. Manakala dalam satu lagi kejadian pada 11 Februari pula, dua sahabat yang masing-masing berusia 19 tahun dan 21 tahun, maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu seorang wanita berusia 47 tahun disyaki dalam keadaan mabuk.
Justeru kita perlu memandang serius kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk yang cuai dan tidak bertanggungjawab seperti ini kerana kita tidak mahu orang yang tidak bersalah terus menjadi mangsa pemandu mabuk yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Tegasnya kita cukup geram dan marah dengan sikap dan tingkah laku pemandu yang masih mahu memandu walaupun dalam keadaan sedang mabuk dan tidak stabil.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita bertindak dengan lebih tegas ke atas pemandu seperti ini yang jelas tidak mempedulikan hak, keselamatan dan nyawa orang lain. Mereka ini perlu dijatuhkan hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran yang secukupnya agar tidak mengulangi kesilapan ini, di samping
hukuman tersebut menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pemandu lain.
Buat masa sekarang pemandu mabuk boleh dicaj di bawah Seksyen 44, Seksyen 45 dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana hukuman yang dikenakan di bawah Seksyen 44 misalnya menetapkan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun selain lesen memandu digantung. Ternyata hukuman ini masih belum mampu
menakutkan atau menyedarkan pemandu yang degil.
Oleh itu dicadangkan hukuman ini disemak dan dipinda dengan segera. Semua pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (MIROS) perlu bersatu hati membuat pindaan terhadap akta yang ada ini dengan segera. Antara cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah, meningkatkan lagi jumlah denda misalnya sehingga RM100,000, hukuman penjara juga wajar ditingkatkan kepada 20 tahun serta bagi kes kematian adalah dicadangkan lesen memandu pemandu tersebut dibatalkan terus sepanjang hayat.
Cukup-cukuplah pengguna jalan raya menjadi mangsa kezaliman seperti ini angkara pemandu mabuk yang angkuh dan tidak bertanggungjawab. Pemandu mabuk tidak berhak meragut nyawa mahupun kebahagiaan orang lain. Kita tidak mahu ada lagi
kejadian isteri kehilangan suami atau anak-anak kehilangan ibu bapa dan ketua keluarga angkara pemandu mabuk. Kecuaian ini tidak boleh dikompromi lagi dan kesabaran rakyat juga ada hadnya. Jadi jangan tangguh lagi usaha untuk meminda
akta dan hukuman yang ada kerana khuatir jika pemandu mabuk terus dimanjakan sehingga kejadian seumpama ini terus berlaku, anggota masyarakat yang marah akan mengambil tindakan sendiri terhadap pemandu tersebut.
Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia