Mohamad Ariff Md Yusof

KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof menolak permohonan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membawa usul bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dalam kenyataannya petang ini, Speaker Dewan Rakyat itu memberi alasan, usul berkenaan bercanggah dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri.

“Saya telah meneliti usul yang dikemukakan oleh YB Datuk Seri Panglima (Mohd Shafie) serta perincian penjelasannya.

“Berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, saya mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri.

“Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul Datuk Seri Panglima ini dibawa ke Majlis Mesyuarat,” katanya.

Hari ini tular satu surat bertarikh 1 Mei 2020 dari Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah, menggunakan kepala surat Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ahli Dewan Rakyat Kawasan P.189 Semporna, Sabah.

Surat itu menyatakan permohonan satu usul Kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Usul tersebut dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) yang dibaca bersama 27(3) dan turut disebut ia tidak bertentangan dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya ia bertujuan menzahirkan perkara itu kepada Dewan Rakyat dan juga rakyat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shafie mohon usul Dr Mahathir peroleh keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat

2 Komen

  1. Dah terang-terang haritu PH tidak sokong Tun menjadi PM, macam mana boleh datang majoriti, tak akan parti Warisan sahaja yang sokong Tun terus dapat majoriti, demam Covid ke apa dia ni.

Comments are closed.