KUALA LUMPUR – Tiada siapa pernah menyangka semua masjid di seluruh negara ditutup untuk umat Islam hadir bagi mengimarahkannya. Malah siapa pun tidak menduga, rumah Allah itu turut tidak dibuka sepanjang Ramadan ini.
Sejak 18 Mac lalu, tiada lagi solat berjemaah buat umat Islam dan kehadiran perasaan rindu tidak mampu ditepis untuk kembali pada memori yang lalu.
Malah rindu terus membuak-buak tatkala menantikan bilakah masjid akan dibuka semula suatu hari nanti.
Memiliki emosi atau pengalaman yang benar membekas di dalam jiwa, membuat kita akan merasai satu kehilangan.
Hakikatnya, rindu itu fitrah bagi manusia yang ada perasaan dan memahami bahawa rindu adalah sangat indah untuk dimiliki.
Lantas jika ramai yang merindu suasana kemeriahan di Masjid Negara, suasana kini sepi dan lengang. Tiada lagi solat fardu secara berjemaah dan solat Jumaat serta kepiluan itu cukup terasa sepanjang Ramadan ini.
Apatah lagi Masjid Negara yang siap dibina Ogos 1965 itu merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah.
MalaysiaGazette baru-baru ini diberi peluang untuk menemubual secara eksklusif Imam Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni bagi mendengar rasa benak hatinya sejak masjid itu sepi tidak berpenghuni.
Bagi Ehsan, bukan sahaja dirinya, bilal dan petugas masjid, sudah pasti umat Islam turut merasai kekosongan di dalam jiwa kerana tiada lagi pengimarahan bersama para jemaah lain.
“Kita ada hablum minallah iaitu kita terikat dengan Allah SWT dan kita ada hablum minnas iaitu ada pertalian dengan masyarakat.
“Oleh itu bila mana tidak ada jemaah, kita rasa kehilangan walaupun kita boleh berhubung dalam talian dan telefon namun tidak sama kita berhubung secara berhadapan.
“Inilah sunnah silaturahim yang perlu kita ada dalam kehidupan bermasyarakat,” tuturnya lembut.
Penutupan masjid dan surau berikutan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac bagi mengekang penularan Covid-19.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah negara menguatkuasakan perintah seumpama itu dan langkah yang sama turut diambil di beberapa negara Islam lain seperti Arab Saudi dan Kuwait.
Ditembak dengan soalan lain, Ehsan diminta berkongsi perasaan yang dirasai ketika ini apatah lagi beliau baru memegang jawatan Imam Besar itu sejak 30 April lalu.
Akuinya, beliau dan petugas masjid merindui aktitiviti-aktiviti kebiasaan yang dijalankan seperti Ramadan yang lalu.
“Kami merindukan masjid ini dapat diimarahkan dengan mengadakan solat berjemaah, bertadarus, ceramah dan kelas pengajian yang semua itu kini dalam kenangan.
“Marilah kita berdoa kepada Allah SWT dengan kerjasama masyarakat Malaysia keseluruhan agar kita dapat memutuskan rantaian wabak Covid-19 untuk kembali tenang dan memberi kesejahteraan.
“Moga kita dapat kembali beribadat kepada Allah SWT dan bersosial dalam normal baharu,” katanya yang merupakan bekas Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan.
Ditanya mengenai perasaan beliau yang kini hanya mengimamkan jemaah seramai dua orang sahaja, Ehsan percaya ada hikmah daripada Allah SWT dan setiap kesulitan pasti ada kesenangan selepas ini.
“Bila mana kerajaan mengisytiharkan PKP sejak 18 Mac lalu, ia menjadi titik tolak buat petugas masjid merasa sedih dan bukan di Masjid Negara sahaja malah di mana-mana masjid pun kita merasai kesedihan itu hatta siapa yang berada di Masjdil Haram dan Masjid Nabawi iaitu dua masjid utama umat Islam.
“Masjid tidak dapat dikunjungi sebagaimana biasa kita beribadah kepada Allah swt. Sudah pasti semua orang merindunya terutama solat berjemaah.
“Bagaimanapun melihat trend peningkatan jangkitan Covid-19 sebelum ini, kita ikuti perkembangan semasa dan memang kita jangkakan Ramadan turut dilaksana PKP di mana masjid hanya dibenar solat berjemaah seramai tiga petugas sahaja iaitu imam, bilal atau pun pegawai lain masjid lain.
“Kita memang bersedia dengan keadaan itu tapi sudah pasti rasa kesedihan kerana bulan Ramadan tidak boleh melakukan ibadah tarawih beramai-ramai dan mengimarah masjid,” katanya menutup bicara. – MalaysiaGazette