KUALA LUMPUR – UMNO telah banyak melakukan pembaharuan dalam tempoh dua tahun ini untuk memastikan parti itu kekal relevan kepada rakyat.
Bahkan, UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) telah bekerjasama dengan Pas melalui Piagam Muafakat Nasional sebagai kesepakatan politik strategik tanpa meninggalkan kepentingan kaum lain.
Menurut anggota Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris, hasilnya UMNO dan BN terus mara walaupun sering kali ditekan, digasak, difitnah dan dibekukan sumber kewangannya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Malah, katanya, parti itu turut diugut akan diharamkan, namun, UMNO tidak pernah gentar dan tahu rakyat memerlukannya ketika sedang dizalimi kerajaan PH.
“Kini, cabaran terbesar UMNO adalah memberikan tawaran yang tidak mampu untuk ditolak oleh rakyat Malaysia.
“Kita perlu menggunakan pendekatan yang lebih universal dan bersifat terbuka untuk menjadikan UMNO sebagai parti pilihan rakyat.
“Berdasarkan pengalaman, keupayaan dan kepimpinan parti, saya percaya UMNO mampu mencipta kelainan untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang tidak henti memberi sokongan kepada UMNO.
Kata Dr. Najmil Faiz, walaupun tidak mempunyai keupayaan aset seperti PH, UMNO membuktikan kejayaannya merampas dan mengekalkan beberapa kerusi dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku sepanjang tempoh dua tahun itu.
Justeru, kata beliau, sempena sambutan ulang tahun ke-74 UMNO esok, parti itu terus komited untuk membela nasib rakyat walau apa jua rintangan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, tarikh 9 Mei semalam merupakan peristiwa hitam negara apabila parti itu tidak lagi mengekalkan kuasa di peringkat pusat.
“Kita terima kekalahan ini kerana ianya adalah pilihan rakyat. Kita tidak pernah menyalahkan rakyat.
“Yang bersalah adalah PH kerana memanipulasi rakyat dengan manifesto dan janji yang tidak masuk akal semata-mata untuk berkuasa.
“Kesannya, 22 bulan pemerintahan di bawah PH begitu perit bagi rakyat dan harus dijadikan iktibar supaya tidak lagi tertipu dengan janji manis mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
UMNO tak salah kerana kejatuhan kerajaan dulu adalah disebabkan sebaran fitnah oleh Si Kitol durjana. Dan rakyat termakan oleh fitnah itu. Tak lama lagi si kitol juga akan nenerima nasibnya kerana kleptokrasi Bon Samurai. Selamat menjawab kepada negara dan rakyat.