KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyediakan kemudahan pembayaran elektronik bagi membolehkan pelanggan menunaikan kewajiban membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan.

Menerusi aplikasi mudah alih SnapNPay, kemudahan pembayaran tersebut melibatkan kerjasama dengan rakan strategik, SnapNPay Digital Sdn Bhd (SNPD) dan 11 lembaga zakat negeri.

Perkhidmatan ini terbuka kepada semua pengguna dan tidak terhad kepada pelanggan Bank Islam.

Melalui aplikasi ini, perdaftaran akaun atau butir peribadi pengguna tidak diperlukan, hanya alamat e-mel diperlukan bagi melengkapkan transaksi pembayaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, aplikasi SnapNPay boleh dimuat turun secara percuma melalui AppStore (iOS) atau PlayStore (Android).

Pelanggan hanya perlu mengimbas kod Respon Pantas (QR) yang disediakan atau memuat naik imej kod QR daripada galeri untuk membuat pembayaran.

Proses pembayaran boleh dibuat dari kesemua 29 bank ahli FPX di Malaysia.

Pada masa ini, Lembaga Zakat Negeri Perak, Terengganu, Sabah, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Pahang menggunakan satu kod QR generik untuk negeri masing-masing, manakala Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang menggunakan kod QR unik bagi setiap wakil kutipan zakat (Amil).

Selain zakat fitrah, Lembaga Zakat Negeri Kedah turut menerima pembayaran zakat-zakat lain.

Disamping pembayaran Zakat Fitrah, aplikasi SnapNPay juga menyediakan peluang kepada pengguna untuk menyumbang kepada Sadaqa House, sebuah platform pendanaan awam yang disediakan Bank Islam bagi tujuan untuk merealisasikan projek-projek bagi golongan terpinggir yang merangkumi kategori kesihatan,
pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan alam sekitar.

Aplikasi ini juga menyediakan kemudahan pembayaran seperti zakat, wakaf, dan iSedekah.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Bank Islam dan SNPD berhasrat untuk membantu mengumpul kira-kira 7% hingga 20% daripada jumlah zakat fitrah tahunan bagi negeri-negeri terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast