DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Seluruh kepimpinan dan ahli UMNO perlu sentiasa istiqamah, membentuk muafakat dan iltizam baharu serta tidak mengulangi kesilapan lalu dalam membina kekuatan sendiri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan, dua tahun lalu, parti itu tersentak dengan mimpi ngeri apabila ditolak rakyat sehingga kehilangan mandat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Katanya, saat itu, ramai yang hilang arah, sehingga ada yang memilih untuk keluar meninggalkan parti keramat ini.

“Ternyata, bukan semua daripada kita berjiwa kental untuk menghadapi ujian yang diturunkan oleh Allah SWT. Yang tinggal dan setia adalah mereka yang benar-benar memahami susur-galur perjuangan UMNO.

”Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesetiaan kita kepada wadah perjuangan ini, akhirnya kita kembali bangkit memenangi hati rakyat melalui kemenangan bergaya di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands tahun lalu.

”Ia merupakan kemenangan pertama selepas PRU-14 yang dicetus hasil kerjasama erat antara UMNO dan Pas melalui agenda Perpaduan Ummah. Agenda Perpaduan Ummah ini kemudiannya diterjemah menjadi Muafakat Nasional yang terbukti mendapat tempat di hati rakyat,” kata Wan Rosdy dalam perutusannya sempena ulang tahun UMNO ke-74.

Tambah beliau, ulang tahun UMNO pada hari ini, mengingatkan kembali tentang sejarah panjang perjuangan parti keramat orang Melayu yang sentiasa mengabdikan kepentingan agama, bangsa dan tanah air melebihi segala-galanya.

Sejak penubuhannya, UMNO telah mengemudi bangsanya untuk bangkit menentang penjajah sehingga Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan.

Kemudiannya, UMNO terus mengorak langkah mencipta perubahan dan kemodenan untuk tanah air tercinta ini.

Wan Rosdy berkata, orang Melayu telah belayar bersama lebih 7 dekad di atas bahtera UMNO dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan dan berjaya mengangkat martabat bangsa sehingga dihormati di serata dunia.

Menurutnya, sesungguhnya, pandemik Covid-19 yang menimpa negara ketika ini menjadi bukti penting kepada rakyat, betapa UMNO adalah parti paling konsisten dan bersungguh-sungguh membantu rakyat yang ditimpa kesusahan.

Gerak kerja yang dilakukan untuk rakyat ketika pandemik ini membuktikan UMNO sentiasa ada di saat rakyat memerlukan.

”Itulah yang seharusnya kita lakukan untuk rakyat. Kerana UMNO itu wujud untuk rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette