Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kerajaan Sabah akan meningkatkan saiz ladang koko.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjangkakan sumbangan aktiviti pengisaran dan pendapatan eksport produk berasaskan koko menurun kira-kira 18 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, kata Menterinya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, nilai eksport coklat meningkat 10.7 peratus, iaitu dari RM1.14 bilion tahun lalu berbanding RM1.03 bilion tahun 2018.

“Terkini, Malaysia merupakan negara pemproses biji koko kedua terbesar di Asia dan ketujuh di dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan Oceania,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Johor untuk memantau tahap pematuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Lawatan kerja itu juga bagi meninjau isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri koko dengan lebih dekat terutama semasa tempoh PKPB.

Antara syarikat dikunjungi ialah Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengisar koko terbesar di Malaysia.

Syarikat ini pengisar keempat terbesar di dunia dengan kapasiti pengisaran 250,000 tan metrik setahun dan pembekal utama kepada syarikat coklat dan industri makanan dan minuman (F&B) seperti Nestle, Mars, Hershey’s dan Cadbury.

Selain itu, lawatan turut diadakan ke syarikat HSRICH Chocolate yang merupakan usahawan bimbingan di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat, Lembaga Koko Malaysia.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin, tahun ini, seramai 224 usahawan coklat termasuk 22 usahawan di Johor dibimbing melalui program berkenaan.

Katanya, lawatan kerja ini memberi peluang kepadanya untuk mendengar secara terus dari pemain industri mengenai permasalahan dan potensi industri koko dan coklat negara.

Beliau menyifatkan lawatan sehari itu berjaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin ke satu tahap lebih baik terutama antara kementeriannya dengan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan industri koko dan pembuatan coklat khususnya di Johor.

Kata Dr. Mohd Khairuddin, kementeriannya komited untuk memperkasakan industri koko di peringkat huluan, di samping hiliran menerusi program integrasi tanaman dengan komoditi yang lain sebagai hala tuju baru Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). – MalaysiaGazette