KUALA LUMPUR – Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menawarkan program Technology Start-Ups Funding Relief Facility (TSFRF) berjumlah RM100 juta yang mensasarkan pembiayaan bagi 40 sehingga 60 syarikat teknologi peringkat permulaan.

Permohonan dibuka mulai 18 Mei hingga 31 Mei 2020 bagi kumpulan pemohon yang pertama.

MDV dalam kenyataannya berkata, permohonan seterusnya akan dibuka sehingga keseluruhan dana berjumlah RM100  juta ini telah dimanfaatkan sepenuhnya.

Program pembiayaan TSFRF ini adalah dibuka kepada semua syarikat teknologi peringkat permulaan tempatan yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaaan.

Kelayakan permohonan ialah syarikat dimiliki secara majoriti oleh warga negara Malaysia; atau majoriti pekerja adalah warga negara Malaysia atau majoriti pendapatan dijana di Malaysia.

Program pembiayaan ini telah dibangunkan lanjutan daripada pelaksanaan beberapa sesi perbincangan dengan wakil-wakil syarikat teknologi peringkat permulaan; syarikat-syarikat modal teroka; pemegang-pemegang taruh MDV iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan Kementerian Kewangan (MOF); serta agensi-agensi pembiaya dan wakil industri iaitu Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle); Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP); Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC); dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Cradle, MAVCAP, MaGIC dan MDEC khususnya, telah memberikan maklumat berhubung keperluan utama syarikat-syarikat di bawah pengawasan mereka dan memainkan peranan penting dalam membangunkan program pembiayaan TSFRF ini.

Setiap agensi ini juga akan menyediakan akses kepada syarikat teknologi peringkat permulaan di bawah seliaan mereka
bagi proses permohonan program pembiayaan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, TSFRF ini ditawarkan dalam bentuk modal kerja untuk syarikat teknologi peringkat permulaan yang terjejas oleh keadaan ekonomi dan menghadapi kekangan kewangan supaya syarikat-syarikat ini berupaya meneruskan operasi serta aktiviti perniagaan mereka.

“Program pembiayaan TSFRF ini bertujuan untuk menangani masalah kekangan kecairan yang dihadapi oleh syarikat teknologi peringkat permulaan dalam situasi semasa ini dengan penawaran kemudahan modal kerja bagi mengurangkan isu-isu aliran tunai pada masa hadapan.

”Ia juga bertujuan untuk memendekkan tempoh penerimaan dana, melalui proses permohonan yang lebih ringkas; proses ketekunan wajar dan penilaian kredit yang lebih cepat; keperluan dokumen yang tidak rumit; serta proses pembayaran yang mudah dan cepat. Selain itu, para pemohon juga tidak perlu membayar apa-apa yuran atau kos tambahan yang lain bagi program pembiayaan ini.

“Lebih utama, tiada cagaran diperlukan selain daripada jaminan peribadi dan debenture yang merupakan sebahagian daripada langkah pengurangan risiko syarikat,” tambah Nizam.

Di bawah program pembiayaan TSFRF ini, pengeluaran boleh dipohon mengikut permintaan atau berdasarkan keperluan aliran tunai bergulir selama 6 bulan bagi setiap pemohon.

Baki prinsipal tertunggak boleh dibawa ke 6 bulan berikutnya, memberikan fleksibiliti dalam menguruskan pembayaran balik.

Ini bermaksud setiap pemohon mempunyai pilihan untuk membayar faedah pembiayaan sementara pembayaran balik amaun prinsipal boleh dibawa ke 6 bulan berikutnya dan seterusnya sehingga tempoh tamat kemudahan pembiayaan tersebut.

Untuk maklumat lanjut berhubung TSFRF, sila layari laman web MDV di www.mdv.com.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast