Seorang suspek, Kalaichelvan Kanniappan dibawa anggota polis selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis hingga maut dalam Sekatan Jalan Raya Ops COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2020.

KAJANG – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian kepada seorang anggota polis yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 3 Mei lalu.

Kalaichelvan Kanniappan, 44, juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap tiga lagi pertuduhan yang membabitkan Akta Polis 1967 (Akta 334), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

Kalaichelvan meminta pertuduhannya dibacakan dalam bahasa Tamil kerana beliau tidak faham Bahasa Melayu dan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Kafli Che Ali membenarkan permohonan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87), memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 PKP.

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Bagi pertuduhan kedua, Kalaichelvan dituduh memandu kenderaan dan tidak mematuhi apa-apa isyarat yang munasabah yang diberi oleh seorang pegawai polis yang bertugas menghendaki orang atau kenderaan berhenti sebelum sampai ke sekatan jalan raya sebagai kesalahan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 (Akta 334) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 12 bulan atau denda RM1000 atau kedua-duanya.

Selain itu, beliau turut dituduh mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu membawa kenderaan tanpa lesen memandu yang sah selain membenarkan tertuduh memandu di atas jalan dan boleh dihukum dibawa Seksyen 26(2) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum denda antara RM300 hingga RM2,000 atau penjara maksimum 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

Kalaichelvan didakwa melakukan semua kesalahan itu pada pukul 2.10 pagi 3 Mei lalu berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Lekas, Kajang.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat mencadangkan mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun Peguambela, Haijan Omar memohon mahkamah mengurangkan jumlah tersebut memandang anak guamnya merupakan pemilik tunggal perniagaan keluarga dan sudah berumah tangga.

“Tuan hakim saya memohon anak buah saya diberi satu jaminan yang rendah kerana dia sudah mengambil bicara dan akan hadir ke perbicaraan setiap kali dipanggil nanti dan itu komitmennya.

“Lagipun wang jaminan hanyalah untuk memastikan kehadirannya,” ujarnya.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Kafli menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan beliau dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 5 haribulan sehingga kes perbicaraan selesai.

Mohd Kafli menetapkan 18 Jun sebagai tarikh serahan dokumen kes dan sebutan semula.

Bagi pertuduhan keempat, Kalaichelvan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan PKP iaitu gagal memberi sebab munasabah mengenai pergerakannya.

Pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Majistret 1 secara berasingan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon bicara sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dikenakan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Haijan menyatakan ikat jamin sebanyak RM1,000 adalah memadai memandang anak guamnya mengahadapi  tiga pertuduhan lain yang melibatkan denda yang tinggi.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.