KUALA LUMPUR - IKHLAS yang merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com meneruskan sumbangan golongan yang memerlukan termasuk penggiat seni di negara ini.
Menerusi Kempen Derma Dengan Ikhlas, IKHLAS telah bekerjasama dengan pasar raya ST Rosyam Mart dengan peruntukan sebanyak RM50,000.
Jumlah dana sumbangan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas dari pasaraya ST Rosyam Mart di mana ia akan diedarkan kepada lebih 1,000 buah keluarga dari pelbagai komuniti termasuk ahli Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA), Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (PERKHAS), ibu tunggal, pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan persatuan kebajikan penduduk.
Pengarah ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. Datuk Rosyam Nor berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan IKHLAS untuk membantu mereka yang memerlukan di musim Covud-19 ini.
“Kami telah mengenal pasti 1000 keluarga yang memerlukan bantuan, yang merangkumi pelbagai persatuan dan NGO.
“Sumbangan Ikhlas ini juga dipanjangkan kepada Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA) dan Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (PERKHAS).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak IKHLAS dan berharap kerjasama murni ini dapat diteruskan untuk masa akan datang,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua IKHLAS, Ikhlas Kamarudin memberitahu pihaknya terpanggil untuk meringankan beban komuniti yang memerlukan terutama pada masa yang mencabar ini.
Sehingga kini jelasnya, IKHLAS telah mengedarkan bantuan ke lebih 50 buah lokasi dan menyedari bahawa ada ramai lagi komuniti yang memerlukan bantuan.
“Dengan semangat #InThisTogether, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasaraya ST Rosyam Nor untuk terus mengedarkan barangan keperluan asas kepada lebih ramai keluarga dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, kolaborasi di antara IKHLAS dan pasaraya ST Rosyam Mart dijalankan kerana Rosyam Nor dan rakan kongsinya, Datuk Datuk Raymond Ho terlibat secara aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebajikan Masyarakat Desa Melawati (PERKEMAS).
Setakat ini, kempen Derma Dengan Ikhlas telah berjaya mengutip dana sebanyak RM911,000 melalui inisiatif derma digital awam.
Sejak hari pertama Ramadan, pasukan IKHLAS telah mengedarkan barangan keperluan asas dan juadah berbuka puasa kepada lebih 5,800 buah keluarga di seluruh negara.
Kempen Derma Dengan Ikhlas adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia dan orang ramai yang berminat untuk menderma boleh melayari Givewith.Ikhlas.com.
IKHLAS merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan.
Ini termasuk kewajipan agama seperti umrah, korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum Syariah dan portalnya akan dilancarkan pada bulan depan.
Untuk maklumat lanjut mengenai tabung bantuan dan inisiatif akan datang, layari Givewith.ikhlas.com atau melalui laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom. – MalaysiaGazette