Trak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membawa keluar pendatang asing tanpa izin dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan Taman Sri Murni di Selayang. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2020.

DASAR buruh asing menjadi salah satu perkara yang mula mendapat perhatian pihak kerajaan dalam merancang pembaharuan dasar disebabkan oleh wabak Covid-19. Sebelum ini, sekuriti makanan dan pendidikan telah diberi perhatian.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan akan mengkaji semula dasar buruh asing selepas isu-isu yang dihadapi oleh 2.3 juta pekerja asing semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pekerja asing telah menjadi salah satu punca kebimbangan rakyat Malaysia apabila mereka menjadi kumpulan baru yang didapati positif Covid-19 setelah dikesan di sebuah tapak pembinaan di Ampang dan persekitaran tempat tinggal mereka yang sesak.
Secara umumnya, menurut jabatan imigresen negara, Malaysia hanya membenarkan pekerja asing diupah di dalam beberapa sektor iaitu sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan. Mereka ini dipanggil pekerja asing yang berdokumen.

Pada masa yang sama, terdapat juga pekerja asing yang datang tanpa izin, yang bekerja di dalam sektor-sektor ini dan juga sektor lain seperti pembantu rumah dan di hospital. Menurut pakar, pekerja asing menyumbang kira-kira 15 hingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh di Malaysia jika pekerja asing yang datang tanpa izin dihitung sekali. Persoalannya, mengapa terdapat kebergantungan seperti ini?
Untuk tahun-tahun sebelum ini, kebergantungan terhadap pekerja asing yang berkemahiran rendah dan separa di dalam beberapa sektor adalah disebabkan kekurangan minat dalam kalangan masyarakat negara ini, mungkin kerana upah
yang rendah dan status sosial. Jadi, kemasukan pendatang asing ini berterusan bagi menampung kekurangan tenaga kerja.

Para majikan, yang juga merupakan ahli Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), berkata bahawa pekerja asing biasanya diambil untuk mengurangkan kos perniagaan kerana mereka dikenali sebagai buruh murah. Walau bagaimanapun, tindakan ini telah menyebabkan para majikan kurang berminat untuk melakukan peralihan kepada automasi, terus merendahkan gaji dan menghadkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Walaupun negara kita sangat menghargai pekerja asing, yang telah membantu mengembangkan ekonomi Malaysia untuk bertahun-tahun, beberapa langkah perlu diambil kira kerana pandemik dan PKP telah menyebabkan pasaran buruh terjejas
dengan kehilangan pekerjaan dan pengambilan pekerja juga telah dibekukan.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan pasaran buruh yang lemah pada separuh pertama tahun ini kerana keadaan ekonomi yang mencabar, berdasarkan Pernyataan Dasar Monetari terbarunya pada 5 Mei lalu. Jadi, bagaimana Malaysia boleh mengurangkan jumlah pekerja asing dalam jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang untuk memberi ruang kepada rakyat
Malaysia yang terjejas teruk dari segi pekerjaan? Salah satu cara yang boleh dipertimbangkan adalah program pengampunan selama beberapa bulan untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin iaitu mereka yang tinggal di Malaysia melebihi tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, sama seperti program yang diperkenalkan pada tahun 2019 dikenali sebagai “Back for Good” (B4G).

Pada tahun 2019, program tersebut mensyaratkan pekerja ini membayar denda berjumlah RM700 dan mereka perlu menunjukkan tiket penerbangan mereka sebelum pulang ke tanah air. Sebaik sahaja mereka kembali ke negara asal,
mereka akan disenarai hitam untuk memasuki Malaysia.
Mungkin kali ini, program yang sama boleh dilaksanakan tanpa syarat yang membebankan mereka untuk kembali ke negara asal, tanpa dikenakan sebarang denda atau denda yang minimum.
Tanggungjawab moral terhadap pekerja asing tidak seharusnya diabaikan walaupun kita ingin mengawal populasi mereka di sini.
Namun, penghantaran pulang pendatang tanpa izin hanyalah satu bahagian daripada kisah ini. Bahagian lain yang mencabar untuk ditangani adalah menggantikan kekosongan terutamanya di dalam sektor pembinaan dan pertanian atau lebih dikenali sebagai pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk menangani cabaran ini?
Bagi pekerjaan berkemahiran rendah dalam sektor pembinaan, memandangkan kebanyakan negeri sudah mempunyai lebihan bekalan rumah dan bangunan pejabat, termasuk norma baharu yang mewujudkan keperluan bekerja dari rumah, fokus industri boleh dialihkan bagi menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi. Untuk menyokong peralihan dalam pekerjaan, subsidi untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja  boleh diperuntukkan kepada syarikat bagi menjalankan program latihan.

Dalam sektor pertanian, inovasi moden diperlukan untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan yang boleh membantu menarik perhatian rakyat Malaysia kepada industri yang sedang menua ini. Dengan itu, pendapatan dapat ditingkatkan dan
secara tidak langsung boleh mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing. Dengan inovasi ini juga, pendidikan yang relevan perlu disediakan kepada golongan belia. Sebagai contoh, kursus dan program berkaitan pertanian di  universiti boleh
dinilai semula supaya selaras dengan kemajuan dalam sektor pertanian.

Insentif yang menarik untuk mengguna pakai teknologi dalam sektor pertanian seperti geran atau subsidi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga perlu diberikan kepada para petani. Tetapi tentu saja usaha-usaha ini haruslah seiring dengan penyediaan tanah yang lebih banyak dengan mengkaji semula peruntukan hak tanah kepada para petani. Aliran masuk pekerja asing telah lama menjadi isu di Malaysia kerana ia mendorong
majikan untuk tidak beralih kepada automasi kerana kosnya yang tinggi. Mungkin pasaran buruh yang terjejas akibat wabak Covid-19 ini boleh mencetuskan peralihan tersebut dan mengawal pengambilan pekerja asing di dalam beberapa sektor. Mengimbas kembali sejarah, Malaysia telah menghantar balik 800,000 pekerja asing manakala 40,000 rakyat  Malaysia kehilangan pekerjaan semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997-98.
Meskipun usaha kerajaan adalah untuk memperbetulkan atau menyelaraskan dasar buruh dalam membantu rakyat Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan, corak pemikiran masyarakat juga perlu diubah.

Pada waktu yang kritikal ini, persekitaran semasa memerlukan rakyat untuk berfikiran terbuka terhadap apa-apa jenis pekerjaan untuk bertahan. Oleh itu, pekerjaan kolar biru juga perlu dihormati dan dihargai. Selagi minda masyarakat tidak diubah, majikan tidak mempunyai pilihan lain selain terus bergantung kepada pekerja asing untuk memenuhi permintaan ekonomi.

Oleh: Nur Sofea Hasmira Azahar, Penganalisis Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. ayuh Malaysia,
    buka mata,
    masalah tenaga pekerja asing perlu diambil serius,
    kerajaan perlu membuat sesuatu supaya majikan lebih memilih tenaga kerja warga tempatan berbanding warga asing,
    ramai dikalangan majikan yg hanya memilih tenaga kerja daripada warga asing disebabkan faktor gajinya yg lebih rendah berbanding warga tempatan,
    majikan tersebut hanya memikirkan keuntungan semata2 tanpa memikirkan nasib warga tempatan,
    kerajaan perlu membuat sesuatu supaya masalah ini dapat diselesaikan dan seterusnya dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada warga tempatan.

Comments are closed.