GENEVA – Koronavirus ‘mungkin tidak akan lenyap’, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Dalam satu taklimat, Pengarah Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan berkata, meskipun vaksin untuk koronavirus ditemui, usaha untuk mengawal penularan wabak itu perlu dilakukan secara besar-besaran.
Hampir 300,000 orang di seluruh dunia maut akibat wabak tersebut dengan kes jangkitan merekodkan sejumlah 4.3 juta orang.
”Virus ini mungkin akan menjadi salah satu virus endemik dalam komuniti kita dan ia tidak akan lupus,” katanya seperti mana HIV yang tidak dapat dilenyapkan tetapi dunia berjaya menanganinya.
Dr Ryan berkata, beliau tidak percaya sesiapa yang dapat meramalkan bila virus ini akan lupus.
Pada masa ini lebih daripada 100 potensi vaksin dibangunkan tetapi Dr Ryan menyatakan ada penyakit lain, seperti campak, yang masih belum dapat dihilangkan walaupun sudah ada vaksin..
Meskipun begitu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menekankan dunia perlu berusaha untuk mengawal virus tersebut.
“Kita semua semua harus menyumbang untuk menghentikan wabak ini,” katanya.
Ahli epidemiologi WHO, Maria van Kerkhove dalam taklimat itu itu memberitahu: “Kita perlu menetapkan dalam pemikiran bahawa dunia memerlukan masa untuk keluar dari wabak ini”.
Dr Tedros juga sekali lagi meminta seluruh dunia untuk terus berhati-hati dengan sebarang kemungkinan gelombang kedua wabak itu susulan kelonggaran sekatan perjalanan yang dibuat oleh kebanyakan negara.
”Banyak negara melaksanakan langkah berbeza. Nasihat kami supaya sentiasa berjaga-jaga.
Dr Ryan menambah: “Ada yang berpendapat sekatan perjalanan adalah cara terbaik manakala yang lain berpendapat melonggarkan sekatan jalan terbaik. Pada kami kedua-duanya ada bahaya.” – MalaysiaGazette