Suasana orang ramai beratur di kedai pajak di Sungai Way, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020

KUALA LUMPUR –  Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima aduan terdapat beberapa syarikat pajak gadai menekan rakyat yang tidak begitu arif tentang moratorium dengan mengenakan caj walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, Ketua Pegawai Operasi  FOMCA Saravanan Thambirajah menggesa agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memantau beberapa syarikat pajak gadai yang mengenakan caj kepada pengguna.

Beliau berkata sebelum ini Persatuan Pajak Gadai Malaysia memaklumkan bahawa caj tidak dikenakan terhadap gadaian selama tiga bulan iaitu bermula dari 18 Mac hingga12 Mei.

“FOMCA telah menerima aduan daripada pengguna yang menggadaikan barang kemas mereka dan dimaklumkan perlu membayar sehingga sembilan bulan. Oleh itu, pihak KPKT perlu turun padang dan memantau di setiap premis pajak gadai ini.

“KPKT perlu mengambil inisiatif membantu pengguna yang tertindas. FOMCA berharap pihak terlibat mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak pengguna supaya tidak dibuli hanya kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata KPKT juga memberi peluang kepada pengguna untuk mengadu nasib melalui media sosial atau menggunakan WhatsApp bagi memudahkan mereka yang tertindas menghantar gambar dan maklumat pemegang pajak gadai terbabit.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast