Foto pilihan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini, Pahang diadakan pada 4 Julai depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Azhar Azizan Harun, berkata penamaan calon pula ditetapkan pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

Seramai 20,990 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih induk 2019 yang dikemaskini sehingga 7 Mei 2020.

Daripada jumlah itu, hanya 18 pengundi awal.

“14 pusat mengundi akan dibuka yang mengandungi 66 saluran untuk memudahkan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM4.3 juta,” katanya dalam sidang media PRK DUN Chini N23 di Ibu Pejabat SPR hari ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.

Seramai 832 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini.

Pengawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli akan dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK.

SPR akan menggunakan Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.

Dalam pada itu, SPR mensasarkan 70 peratus pengundi dijangka akan keluar mengundi pada hari pembuangan undi kelak.

“SPR juga memohon semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar berkata SPR akan menyiarkan proses penamaan calon, pengeluaran kertas undi pos, pengundian awal, semakan peti undi, pengundian, pengiraan undi dan keputusan PRK ini secara langsung melalui Facebook live SPR.

PRK DUN Chini diadakan selepas penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi. -MalaysiaGazette