Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga beliau belum lepas undi tidak percaya yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Muhyiddin mesti dalam masa segera membuktikan cukup sokongan ahli Parlimen bagi menunjukkan kerajaannya adalah sebuah kerajaan majoriti walaupun dengan majoriti mudah seramai 112 orang sahaja.

Ini kerana, katanya, sebagai sebuah kerajaan minoriti hanya bersifat sementara keabsahannya (legitimacy).

Oleh itu, Muhyiddin selaku Perdana Menteri kerajaan minoriti mesti melalui satu ujian objektif iaitu menghadapi dengan seberapa segera usul undi tidak percaya yang telah dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana usul tersebut telah diterima oleh Parlimen sebagai satu usul Dewan Rakyat.

Muhyiddin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 berdasarkan peruntukan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘’Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;’’

Ukuran standard yang diguna pakai dalam Perkara 43 (2)(a) itu ialah ukuran subjektif bukannya objektif. Perkataan di dalam peruntukan Perlembagaan itu ialah ‘’ pada hematnya mungkin..’’

”Bolehkah Muhyiddin Yassin bersandar keabsahan (legitimacy) kerajaannya hanya kepada alasan bahawa beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a)? Dengan rendah hati, penuh hormat dan beradab jawapan saya ialah: Tidak boleh.

”Mengapa tidak boleh? Jawapan kepada soalan ini adalah penting. Malaysia ialah sebuah negara demokratik yang mengamalkan dwi-fungsi iaitu Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Malaysia tidak mengamalkan Sistem Raja Mutlak (absolute monarchy),” katanya.

Hassan menambah, Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan itu merupakan pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan terhadap kuasa institusi raja di Malaysia tetapi tetapi kuasa itu tidaklah lengkap dan tidak mutlak dalam soal pelantikan seorang Perdana Menteri.

”Mengapa saya berhujah demikian? Kerana dengan jelas Perkara 46(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan hal berkenaan Keanggotaan Dewan Rakyat iaitu: ‘’ Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada dua ratus dua puluh dua orang ahli dipilih.’’ Perkataan kunci di sini ialah perkataan ‘’dipilih’’. Dipilih bermaksud dipilih oleh rakyat di dalam pilihan raya melalui peti undi,” ujar beliau.

Tambahnya, Perkara 46(1) Perlembagaan Persekutuan itu adalah pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan terhadap kuasa rakyat. Demokrasi Berparlimen adalah demokrasi yang lahir dari peti undi dan pilihan raya.

Kuasa rakyat yang sebenarnya memilih kerajaan dan kuasa rakyat juga seperti kuasa raja adalah suatu institusi yang diiktiraf oleh undang-undang dan Perlembagaan.

Katanya, sebagai seorang ahli Parlimen secara ikhlas dan jujur, beliau menyeru kepada Muhyiddin Yassin supaya segera menyelesaikan krisis perlembagaan ini yang menyentuh keabsahan kerajaan pimpinannya.

“Lagi cepat lagi baik supaya krisis perlembagaan ini tidak berleret-leret yang akan merugikan rakyat dan negara. Sebagai suatu Bangsa Malaysia dan sebuah negara Malaysia yang kita sayangi, maka kita perlu segera bangun dan bergerak ke hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bodoh punya manusia ni…masa di negeri2 juga amalkan sistem yg sama…di Sabah kerajaan PH Warisan jatuhkan kerajaan BN yg dipilih oleh rakyat ada pakai undi tak percaya dlm Dewan kah?? Bukankah rakyat Sabah telah memilih melalui pilihanraya kerajaan negeri BN. Lepas tu ko buat2 lupa kah kes Langkah Kajang? Ada buat undi tak percaya dlm DUN Selangor terhadap TS Khalid Ibrahim?? ko tolong jawab sikit..Hari ni di Kedah, ada undi tak percaya dalam Dewan Undangan Negeri kah?? Di Melaka? di Perak? Di Johor? Semua ada undi dlm Dewan kah? Semuanya pakai SD kpd Sultan atau TYT. Kalau ko rasa PH ada cukup undi kau sembah makluk kpd Agong lah utk bentuk kerajaan baru…ko ingat ahli2 parlimen yg sokong TS Muhyidin tu lantik diri sendiri kah? Bukan mrk ni semua dipilih juga oleh rakyat dlm pilihanraya?? bodoh punya peguam

Comments are closed.