GOMBAK – Penglibatan warga tempatan sebagai pekerja di pasar-pasar borong di ibu kota disambut baik oleh para peniaga di Pasar Borong Selayang.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati para peniaga sangat berbesar hati sekiranya ada orang tempatan sedia bekerja menggantikan warga asing di pasar tersebut.
Seperti peniaga ikan Muhammad Noor Azlan Mahmud, 44, beliau tidak pernah mengambil warga asing untuk membantunya.
Menurut beliau, berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan ramai warga emas yang dijangkiti positif Covid-19, membuatkan peniaga lain perlu mengambil langkah berwaspada.
Namun beliau berpendapat berkemungkinan penglibatan pekerja tempatan akan mengambil masa kerana perlu melalui beberapa proses termasuk ujian kesihatan terlebih dahulu.
“Orang tempatan yang nak kerja sini kena buat saringan Covid-19 jadi nak kena kuarantin 14 hari dulu itu yang mereka belum bekerja dulu.
“Kita alu-alukan pekerja orang Malaysia bekerja di sini di pasar baik Melayu, Cina dan India sebab sekarang ini taukeh ikan perlu juga pakai pekerja untuk angkat barang.
“Jadi seronoklah kalau ada ramai pekerja tempatan di sini,” katanya.
Dengan pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini umaka peluang pekerjaan untuk warga tempatan khususnya belia yang masih menganggur semakin luas.
“Jadi saya minta jasa baik orang kita mari bekerja di pasar borong, peluang banyak sekarang ini,” ujarnya.
Bagi K. Rathambal, 60, yang menjual daging di situ turut berpendirian sebaiknya pekerja-pekerja di pasar borong adalah orang tempatan bagi demi memastikan aspek keselamatan sentiasa terjamin.
Jelas beliau, warga asing dilihatnya boleh ‘mengancam’ keselamatan khususnya apabila wujud sekumpulan yang tidak bertanggungjawab mencetuskan pergaduhan di Pasar Borong Selayang sebelum ini.
“Bagus juga, sebab kalau orang tempatan yang kerja sini bagus, orang luar lebih-lebih, gaduhlah. Keselamatan lebih penting kalau orang,” kata beliau.
Tidak dinafikan keputusan kerajaan tersebut langkah yangbaik,namun penjual ayam seperti Goh Suh Chui, 51,mengeluh dalam masa yang sama.
Katanya, situasi pandemik Covid-19 sekarang yang seterusnya memaksa kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak beberapa bulan yang lalu memberi kesan kepada prestasi jualannya.
Ini menyebabkan kerja-kerja di pasar tidak banyak seperti sebelum ini, sekaligus beliau tidak memerlukan pekerja tambahan lagi.
“Tapi macam saya sekarang tidak perlu pun pekerja lagi sebab pelanggan pun kurang. Saya boleh uruskan sendiri,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga di Pasar Borong Selayang Mohd Arif Zakaria,32, pula menyifatkan warga asing lebih rajin berbanding orang tempatan.
Pengalamannya sendiri mengupah pekerja tempatan sebelum ini menjadi sebab kenapa beliau berpendirian sebegitu.
“Pernah saya ambil pekerja tempatan, tapi yelah nak kena bangun pukul 3 pagi, susah sikit bagi mereka, dapat gaji hari ini esok tak kerja. Begitulah. Tegur sikit tidak boleh orang kita ini.
Warga asing pun rajin sikit, sebab terpaksa cari makan dengan kita,” katanya yang sudah mula berniaga di situ sejak tahun 2004 lagi.
Beliau juga berkata tidak mampu untuk mengupah pekerja tempatan yang lebih tinggi.
“Bukan kita tidak mahu orang tempatan tapi gaji mereka ini tinggi ada sampai RM100 sehari kalau warga asing RM70, RM80,” tambahnya.
Untuk rekod, Menteri Wilayah Persekutuan mahu pengambilan pekerja asing di pasar borong seluruh negara dihentikan segera susulan laporan terdapat lebih 1,000 warga tempatan bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang ketika ini.-MalaysiaGazette