Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan amat menggalakkan supaya rakyat berbelanja bagi merangsang ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, adalah penting untuk mengimbangi kesihatan awam dengan menjana aktiviti ekonomi.

Dengan itu, kerjasama rakyat amatlah diperlukan ketika ini, tegasnya.

“Kita sedar ada yang masih was-was untuk berbelanja. Kerajaan amat menggalakkan rakyat untuk berbelanja bagi merangsang ekonomi negara.

“Adalah penting untuk mengimbangi kesihatan awam dengan menjana ekonomi negara, teruskan kerjasama anda.

“Tiada negara yang mampu menyekat ekonomi secara berterusan dan disebabkan itu, kerajaan mahu memperkasakan perniagaan dan rakyat tetapi mereka perlulah memahami dan melaksanakan apa yang baik dan meninggalkan yang memberi kesan yang buruk,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Keenam Prihatin hari ini.

Tambahnya, setakat 17 Mei lalu seramai 7.84 juta penerima atau 96 peratus termasuk yang tidak mempunyai akaun bank dan gagal kredit telah menerima Bayaran Prihatin Nasional (BPN) Fasa Pertama sebanyak RM5.54 bilion.

Seramai 7.61 juta atau 93 peratus pula telah menerima BPN Fasa Kedua yang melibatkan bayaran sebanyak RM3.41 bilion pada hujung minggu lalu.

Jelasnya, disebabkan beberapa masalah teknikal, usaha menyalurkan pembayaran akan diteruskan sehingga 22 Mei ini.

Bagi 2.3 juta penerima yang layak daripada permohonan baharu dan rayuan, bayaran telah pun bermula pada 15 Mei 2020. Sehingga kini, seramai 830,000 telah menerima bayaran BPN melibatkan RM620 juta. – MalaysiaGazette