PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat dakwaan yang sebuah hospital swasta terkenal di ibu negara menjual topeng muka tiga lapisan melebihi harga maksimum.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, jika benar seperti didakwa pihaknya akan bertindak terhadap hospital tersebut kerana melanggar arahan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Beliau berkata, KPDNHEP tidak akan memberi peluang kepada hospital terbabit namun dakwaan itu perlu disiasat terlebih dahulu.
“Sesiapa saja yang menjual lebih daripada itu (harga siling) ia telah melakukan kesalahan dengan melanggari apa yang kita tetapkan.
“Sebab harga itu harga retail (runcit) RM1.50 sehelai. Kita mahu lihat bagaimana dia caj. Mungkin dia menjualnya secara keseluruhan. Kita tak tahu lagi,” katanya kepada media selepas mengumumkan harga maksimum barangan terkawal sempena musim perayaan di kementeriannya di sini hari ini.
Alexander diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan sebuah hosital swasta di ibu negara menjual topeng muka pada kadar RM11.20 sehelai.
Sebelum ini, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Iskandar Halim Sulaiman turut memberitahu, pihaknya sedang menyiasat hospital tersebut susulan aduan orang ramai yang dikenakan bayaran RM201.60 bagi 18 keping topeng tiga lapisan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi kesalahan di bawah Seksyen 11, iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal (topeng 3 lapisan) melebihi harga maksimum. – MalaysiaGazette