KUALA LUMPUR – Penggunaan herba sebagai makanan tambahan biasanya popular di kalangan masyarakat untuk meningkatkan tahap imunisasi serta memulihkan tenaga batin
Namun beza kisahnya di Pondok Hijrah Muslimah, sebuah banglo wakaf yang dijadikan pusat pemulihan ketagihan oleh Pertubuhan Muslimah Malaysia (MUM) terletak di Hulu Kelang.
Campuran pelbagai herba diguna untuk memulihkan ketagihan bukan sahaja dadah, menstabilkan tekanan emosi tetapi juga ketagihan seks di kalangan belia.
Seorang remaja yang mendapat rawatan ingin dikenali sebagai Suci, berusia 18 tahun menceritakan pengalamannya yang mula ketagihan seks sejak berusia 14 tahun.
Suci menceritakan pengalaman pertama melakukan hubungan seks secara beramai-ramai menyebabkan dia mula menjadi penagih seks di awal usia remaja.
“Pengalaman seks itu adalah biasa bagi saya dan jika tidak melakukannya saya akan menggigil, berpeluh sepanjang masa selagi keinginan itu tidak dipenuhi.
“Saya pernah melarikan diri bersama teman lelaki selama tiga bulan gara-gara ibu bapa cuba mengatur perkahwinan dengan lelaki pilihan mereka.
“Saya lari kerana masih mahu hidup bebas dari sebarang ikatan.
“Bagaimanapun menerusi program MUM, saya diajar “memindahkan” ketagihan seks itu kepada aktiviti lain seperti mempelajari sejarah, kesenian, tarian dan sebagainya selain mengamalkan pemakanan herba.
“Pemakanan herba itu menghilangkan ketagihan seks saya malah saya boleh meneruskan hidup secara normal,” katanya kepada wartawan.
Setelah menjalani program pemulihan itu selama setahun setengah, Suci kembali kepada keluarganya dan kini sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan lelaki pilihannya.
Itu adalah salah satu daripada beribu kisah belia yang pernah mendapat ‘sentuhan’ oleh MUM dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak pertubuhan itu diwujudkan pada 2016.
Menurut Presiden MUM, Wan Asshima Kamaruddin, pusat pemulihan ketagihan itu turut membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental serta golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
“Menerusi program MUM, peserta akan diberi kaunseling, dibawa ‘bersatu dengan alam semulajadi’ seperti air terjun, sungai dan lain-lain di mana untuk menerbitkan keinsafan serta menimbulkan semula jati diri yang hilang.
“Malah golongan ‘pengkid’ kembali menjadi wanita, setelah diberi makan herba bagi meningkatkan hormon kewanitaan mereka.
“Setiap manusia dilahirkan sebagai kain putih, suci tanpa noda tetapi dicorakkan mengikut acuan ibu bapa, persekitaran atau ujian hidup yang menimpa mereka.
“Jadi kita bersihkan corak hitam dan warnakan semula agar mereka menjadi manusia bermanfaat.
“Di MUM, kita tukarkan sampah jadi permata malah ada diantara penagih kini sudah menjadi polis bantuan dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun menurut Wan Asshima cabaran utama program berkenaan belum menerima sebarang bantuan kerajaan kerana program terpaksa ditangguhkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
“Syarat untuk mendapat geran adalah perlu melaksanakan 10 program seperti karnival, jualan amal, kem motivasi dan sebagainya.
“Namun ia terpaksa ditangguhkan dan hanya bergantung kepada sumbangan masyarakat.
“Di sini terdapat enam sukarelawan
“Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat ini dikenakan bayaran RM500 sebulan tetapi kami turut menerima keluarga yang tidak mampu membayar sejumlah itu kerana faktor kewangan.
“Biasanya program pemulihan mengambil masa tiga hingga enam bulan tetapi ada penghuni yang menetap sekejap-sekejap seperti tiga hari sahaja setiap kali timbul ketagihan,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank : 5624 69320820 atau Akaun Cimb : 76310 60511 atas nama Pertubuhan Muslimah Malaysia MUM. – MalaysiaGazette
Usaha murni ni eloklah kita sokong dan bantu. DSAI bolehlah hulurkan bantuan kslau betul nak jadi PM. Bolehlah promosikan herbs yang digunakan secara ksunseling dan komerskl.