SEMALAM wartawan terkenal, Datuk Ahmad A. Talib, 69, meninggal dunia akibat kanser hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas lebih sebulan menerima rawatan akibat penyakitnya itu.
Seperti mana Tok Mat (nama panggilan mesranya), saya juga seorang wartawan. Bezanya beliau sudah bergelar wartawan lama sebelum saya dilahirkan, seawal tahun 1972 lagi di mana ketika itu arwah bapa saya pun belum bernikah dengan ibu saya.
Sejujurnya, saya tak pernah bekerja dibawah Tok Mat kerana Tok Mat pernah bertugas di Bernama, NST, Berita Harian dan TV3 sedangkan saya dulu di Utusan Malaysia, Sinar Harian dan TV Al Hijrah.
Kami berdua kali pertama bertemu pada tahun 2005 sewaktu saya bertugas di Pulau Nias, Indonesia kerana membuat liputan gempa bumi di sana. Tok Mat masa tu pergi ke pulau tersebut sebagai sebagai Pengerusi Jawatankuasa Media Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
Anak yatim Pulau Nias
Pertemuan pertama itu akhirnya menjadi sejarah yang tak dapat saya lupakan sepanjang karier saya sebagai wartawan kerana pada tahun tersebut, kami berdua berjaya menemukan seorang anak yatim pulau itu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kisahnya begini.
Saya waktu itu telah menulis sebuah artikel mengenai kisah seorang anak yatim piatu di pulau itu yang juga bernama Mahathir Mohamad. Nama tersebut diberi oleh bapa angkatnya sempena nama bekas Perdana Menteri tersebut.
Kanak-kanak yang berusia sembilan tahun itu ditempatkan di sebuah rumah anak yatim di situ setelah rumah keluarga angkatnya musnah dalam gempa bumi kuat yang telah menggegarkan pulau berkenaan.
Apabila kisah budak bernama Mahathir Mohamad yang saya tulis itu mendapat liputan meluas, Dr. Mahathir kemudiannya meminta agar budak itu dibawa bertemu dengannya di Kuala Lumpur.
Ketika inilah, Tok Mat telah menggunakan ‘pengalaman dan pengaruhnya’ untuk menyakinkan kerajaan Indonesia agar dibenarkan anak yatim tersebut dibawa keluar dari republik berkenaan untuk bertemu dengan Dr. Mahathir di Kuala Lumpur.
Saya ketika itu hampir berputus asa untuk membawa anak yatim tersebut ke Malaysia kerana polisi kerajaan Indonesia ketika itu melarang kanak-kanak mereka yang menjadi mangsa bencana alam dibawa keluar dari negara berkenaan.
Ini kerana saya difahamkan ketika berlaku tragedi tsunami Aceh sebelum ini, ada anak-anak mangsa bencana alam itu telah ‘dibawa’ keluar dari republik tersebut untuk dijadikan anak angkat oleh warga asing yang datang ke situ.
“Niat kita baik Syahril, kita nak bawa budak tu jumpa Dr. Mahathir…mana tahu kita boleh masukkan dia ke rumah anak yatim yang lebih selesa di Malaysia, kita juga boleh masukkan dia ke sekolah, beri pendidikan yang sempurna sehingga tamat.
“Kerajaan Indonesia tak perlu risau, kita bukan nak jadikan dia warga Malaysia, lepas dia tamat sekolah nanti, budak ini boleh kembalikan semula anak ini ke kampung halamannya di Indonesia,” kata Tok Mat pada saya.
Walaupun saya bersetuju dengan cadangan Tok Mat, namun ketika itu saya masih ‘ragu-ragu’ sama ada idea tersebut dapat direalisasikan. Apatah lagi saya tahu kami berdua bakal berhadapan dengan kerenah birokrasi dan diplomatik untuk membawa budak ini keluar dari Indonesia.
Tetapi Tok Mat tetap Tok Mat, tiada istilah mustahil bagi beliau.
Saya tak tahulah apa ‘jampi atau mentera’ yang beliau pakai, yang pasti tak sampai beberapa hari berunding dengan pihak berkuasa republik tersebut, Tok Mat memberitahu saya yang kerajaan Indonesia bersetuju membenarkan anak yatim itu dibawa ke Malaysia dan bersekolah di sana…luar biasa!
Akhirnya kami berdua berjaya membawa adik Mahathir ke Kuala Lumpur dan menemukannya dengan idolanya, Dr. Mahathir hingga mendapat liputan meluas di dalam media di kedua-dua buah negara.
Untuk rekod, adik Mahathir kemudiannya ditempatkan di Yayasan Al-Bukhari di Alor Star, Kedah dan disekolahkan di sana sehinggalah tamat SPM beberapa tahun lepas.
(Gambar terbaru adik Mahathir Mohamad)
Seperti yang dijanjikan antara kedua-dua buah negara, Mahathir telah pun kembali ke Indonesia dan kini bekerja di Jakarta.
Selepas peristiwa bersejarah itu, kami berdua jarang bertemu kerana kesibukan kerja namun sekali-sekala kami tetap bertanya khabar melalui telefon.
Banjir besar Kelantan
Namun banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2015 sekali lagi memperlihatkan ‘gandingan’ kami berdua.
Tok Mat ketika mengetuai sebuah NGO bernama Yayasan Salam.
Saya ketika itu telah melancarkan kempen bantuan kemanusiaan ke negeri berkenaan bersama rakan-rakan. Mengetahui yang Tok Mat adalah orang ‘nombor satu’ di yayasan tersebut, saya telah menghubunginya bertanyakan kalau-kalau ada barang bantuan yang boleh kami bawa sekali ke sana.
“Kau datang bawa lori besar, aku nak kau bawa sebanyak mungkin bantuan ke sana sekarang!,” katanya.
Terkejut saya. Saya ingatkan Tok Mat hanya nak kirim dua tiga kotak barang, rupanya penuh satu lori!
Ada banyak lagilah kenangan saya bersama Tok Mat namun biarlah ia tersimpan kemas dalam catatan kenangan saya dengannya.
Namun kalau diminta berkongsi satu lagi pengalaman dengan tokoh wartawan veteran ini, saya hendak katakan untuk kali terakhir, cukuplah saya terlalu kagum dengan kerendahan budi dan sikap beliau yang tidak pernah membeza-bezakan antara wartawan lama dan wartawan ‘setahun jagung’ seperti saya.
Walaupun saya dengan Tok Mat ibarat langit dengan bumi, baik dari segi umur, pengalaman kewartawanan mahupun pangkat, tetapi beliau tidak pernah memandang saya ‘sebelah mata’.
Bagi Tok Mat, tidak ada ‘darjat’ atau dinding yang menjadi tembok penghalang antara beliau dan wartawan-wartawan yang lain.
Selamat pulang ke negeri abadi dan kepada Tuhanmu saudaraku.
Kami mengiringimu dengan doa yang tak putus agar rohmu dicucuri rahmat, dosamu diampunkan dan tempatmu di syurga untuk selamanya.
Teringat kata-kata sasterawan terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer.
“Karena kau menulis…suaramu tak akan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh di kemudian hari.”
Innalilahiwainalilahirojiun. – Malaysia Gazette
Itu sebab bila menulis , kenalah menulis dengan sabar.