Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan ke atas penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membenarkan para majikan kepada pekerja asing di sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan membuat tuntutan subsidi bagi saringan Covid-19 sebanyak RM150 bagi setiap saringan yang dijalankan ke atas pekerja.

Keutamaan diberikan kepada pekerja-pekerja berkenaan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Majikan boleh menghantar pekerja mereka menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Program itu dilaksanakan di bawah Program Saringan Prihatin Perkeso bagi meningkatkan capaian ujian saringan Covid-19 kepada pekerja-pekerja di negara ini dan memastikan tempat kerja selamat dan sihat, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Menurutnya, program subsidi ini akan menggunakan peruntukan dana sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan oleh Perkeso sebelum ini.

”Majikan boleh menghantar pekerja mereka menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagi pekerja yang tidak termasuk dalam golongan sasar tersebut, kos saringan perlu ditanggung oleh majikan.

Peluasan skop saringan Covid-19 di bawah PSP Perkeso ini berkuatkuasa esok.

Prosedur program subsidi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian terkini PSP Perkeso akan dimaklumkan melalui Portal Prihatin
(https://prihatin.perkeso.gov.my) yang disediakan oleh Perkeso. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast