KUALA LUMPUR – Bekas menteri, Tan Sri Noh Omar telah dilantik sebagai pengerusi baharu subsidiari Petronas, MISC Bhd, menggantikan Datuk Ab. Halim Mohyiddin.
Pelantikan itu, yang berkuatkuasa semalam, telah diumumkan oleh syarikat perkapalan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ahli Parlimen Tanjung Karang yang berusia 62 tahun itu, berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mulai 2008 hingga 2009.
Dari 2014 hingga 2016, beliau menjadi Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor sebelum kembali ke kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2016 sehingga 2018.
Sementara itu, Ab. Halim, 74, kekal dalam lembaga pengarah syarikat sebagai Pengarah Bebas.
MISC, yang dimiliki sebanyak 57.56 peratus oleh Petronas, menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan dengan tenaga. – MalaysiaGazette