Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar bersama ahlinya yang lain bergambar sebelum membuat laporan SPRM mengenai konspirasi sulit yang melibatkan bekas Menteri Kewangan dan bekas Peguam Negara di Ibu Pejabat SPRM Negeri Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2020.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak membuka kertas siasatan dengan segera berhubung dakwaan salah guna kuasa didakwa melibatkan bekas pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar menegaskan, dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi adalah sesuatu yang serius.

“Kami mohon pihak SPRM mengambil tindakan secepat mungkin kerana kita tidak mahu perkara ini kemungkinan boleh dipadamkan, dihilangkan dan boleh jadi ada yang melarikan diri.

“Lebih-lebih lagi integriti SPRM sebelum ini seolah-olah dilacurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan SPRM Negeri Selangor hari ini.

Semalam, portal berita Free Malaysia Today (FMT) melaporkan dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengarahkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas melepaskan sekatan yang dikenakan ke atas akaun bank seorang pemaju hartanah.

Menurut laporan FMT, akuan bank pemaju hartanah terbabit dibekukan berikutan penyiasatan mengenai pengubahan wang dalam kes 1MDB.

Susulan itu, Tommy Thomas memberi maklum balas positif dengan mengarahkan SPRM untuk melepaskan 4 daripada 41 entiti dan individu yang akaunnya dibekukan berikutan siasatan kes 1MDB.

Terdahulu, pemimpin pertubuhan itu membuat laporan mengenai salah laku itu kepada SPRM Negeri Selangor dan turut diserahkan adalah beberapa dokumen sulit bagi membantu siasatan.

A’zlan juga menegaskan, tiada sesiapa pun kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk bekas Menteri Kewangan dan Peguam Negara itu

“Apa yang dilakukan oleh mereka ini ketika menjawat jawatan penting dalam Kerajaan adalah satu perkara yang amat serius hingga akan mendatangkan konflik kepentingan dengan mengkhianati kedaulatan undang-undang.

“Undang-undang di Malaysia tidak berkecuali pada mana-mana mereka yang berpijak di bumi Malaysia berdaulat ini.

“Tidak ada mana-mana pihak juga kebal dengan badan berkuasa dalam mengadili kesejahteraan keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette