KUALA LUMPUR – Nilai eksport negara pada bulan April lalu susut 23.8% kepada RM64.92 bilion susulan pandemik Covid-19.
Ia merupakan penurunan terbesar sejak September 2009 ketika krisis kewangan global pada tahun 2009.
Manakala import menurun 8% kepada RM68.42 bilion.
Eksport semula yang bernilai RM18.6 bilion merekodkan peningkatan sebanyak 38.2% tahun ke tahun dan menyumbang 28.7% kepada jumlah eksport, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Walau bagaimanapun, eksport domestik menurun 35.4% atau
RM25.4 bilion kepada RM46.3 bilion.
Import juga mencatatkan penurunan iaitu 8.0% tahun ke tahun kepada RM68.4 bilion.
Pada April 2020, nilai import Malaysia melebihi nilai eksport terutamanya disebabkan terdapat import barangan modal yang bernilai RM10.1 bilion, menghasilkan defisit dagangan sebanyak RM3.5 bilion.
Ini merupakan bulan pertama Malaysia mencatatkan defisit dagangan sejak Oktober 1997.
Sementara itu, jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM133.3 bilion, menurun 16.4% tahun ke tahun.
Keadaan ini juga boleh dilihat dalam jumlah transaksi, yang berjumlah 11.7 juta transaksi bagi tempoh Januari hingga April 2020 berbanding 14.3 juta transaksi bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perdagangan yang lebih rendah direkodkan terutamanya dengan Singapura, Thailand, India, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Vietnam dan Arab Saudi.
Berbanding Mac 2020, jumlah perdagangan dan eksport masing-masing menurun sebanyak 9.9% dan 19% manakala import naik 0.9%.
Perdagangan Malaysia bagi empat bulan pertama tahun 2020 mencatatkan pengurangan sebanyak 3.5% kepada RM573.75 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019.
Manakala perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, Hong Kong, Jerman, India dan Vietnam tetapi meningkat dengan Korea, Indonesia, Amerika Syarikat.
Eksport bagi tempoh tersebut menurun 5.5% kepada RM303.61 bilion dan import berkurang secara marginal sebanyak 1.2% kepada RM270.14 bilion.
Lebihan dagangan bernilai RM33.47 bilion, menurun 29.9% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.
Mengulas mengenai prestasi perdagangan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penurunan eksport dan import telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia telah berada dalam keadaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.
Ini menyebabkan gangguan utama terhadap aktiviti pembuatan dan pergerakan barangan secara global.
Namun begitu, eksport beberapa barangan seperti barangan besi dan keluli, sarung tangan getah dan minyak sawit ditapis mencatatkan peningkatan.
“Eksport Malaysia dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana kerajaan telah membenarkan lebih banyak industri untuk kembali beroperasi dengan kapasiti penuh sejak 4 Mei lalu.
”Begitu juga, syarikat-syarikat di negara lain turut meningkatkan operasi perniagaan mereka dan ini akan menggalakkan aktiviti-aktiviti perdagangan antara Malaysia dan negara-negara lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette