Veeran

KUALA LUMPUR – Sejak beberapa minggu lepas, rata-rata  menarik nafas lega berikutan angka positif serta kematian berkaitan Covid-19 menunjukan penurunan drastik.

Malah secara perlahan-lahan beberapa sektor mula dibuka berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan oleh pihak berwajib.

Namun apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan rakyat di negara ini apakah akan berlaku dengan kehidupan mereka selepas ini?

Hakikat dan realiti sebenar ialah pandemik itu telah meninggalkan impak maksimum kepada kita termasuk ramai yang hilang pekerjaan ketika dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, Veeran Muniandy merasakan kebimbangan masyarakat ketika ini.

“Setiap hari telefon saya berbunyi dengan pelbagai isu dihadapi oleh masyarakat kita. Ramai sebenarnya sudah mula terkesan dengan Covid-19 ini, terlalu ramai sehingga saya tidak tahu hendak mula dari mana atau apakah statistik sebenarnya.

“Ada hilang kerja, ada hilang sumber pendapatan untuk tempoh yang sungguh panjang termasuk yang bekerja sendiri, masing-masing tidak tahu apakah keadaan masa depan mereka.

“Jika ramai sudah dan akan hilang kerja, apakah pula yang terjadi dengan golongan graduan? Semakin ramailah penganggur selepas ini.

“Selepas tamat tempoh moratorium, banyak juga rumah yang saya dengar akan dilelong kelak kerana tidak berupaya membayar balik ansuran rumah. Ini baru sedikit saya cakap.

“Sebenarnya apakah persediaan kita selepas ini, risau saya,” luahnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Veeran juga melontarkan persoalan apakah kerajaan ketika ini sudah mempunyai perancangan untuk membantu rakyat menangani pula permasalahan itu.

“Sememangnya kita tidak boleh menyalahkan kerajaan tetapi pada masa tidak boleh tangani isu ini sendirian. Hakikatnya kerajaan perlu tampil bantu, apakah penyelesaian kepada golongan hilang kerja, tiada sumber pendapatan ini?

“Malah apa yang lebih membimbangkan, di kala ini juga wujudnya sekumpulan pimpinan politik yang tidak habis-habis berpolitik sakan, oleh yang demikian kelangsungan ekonomi juga terjejas.

“Jadi apakah kesudahan sebenarnya? Keadaan politik juga tidak stabil, kucar kacir sehingga menyebabkan pelabur ‘lari’. Adakah semua ini dalam benak pemikiran pemimpin politik? Jika tidak, fikirkanlah,” ujarnya.- MalaysiaGazette