KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi membantu rakyat yang menjadi mangsa diberhentikan kerja akibat pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, meskipun kadar pengangguran dalam negara tidak membimbangkan namun kadarnya perlu diberi perhatian.
“Kerajaan harus merangka lebih banyak pelan pembangunan yang strategik untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan supaya kadar penggangguran tidak meningkat secara mendadak dan menyebabkan ekonomi alami defisit yang lebih teruk di masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama beliau memuji tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mengambil gelandangan sebagai pekerja.
Jelas Dominic, ketidakseimbangan tenaga buruh perlu dielakkan dengan tindakan ke hadapan kerajaan.
“Kerajaan perlu kreatif dalam pelan pembangunan pekerjaan dalam semua industri, majikan juga perlu bekerjasama untuk merangsang semula perkembangan ekonomi,” tambahnya.
Gerakan percaya masalah pengangguran ini dapat dibendung dengan baik jika kerajaan bijak mengatur strategi pembangunan.-MalaysiaGazette