SPRM
TARIKH 8 Januari 2020 menjadi sejarah dalam negara Malaysia berikutan pendedahan secara terbuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai rakaman percakapan bekas Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengenai skandal dana 1MDB kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rentetan dari itu, pelbagai reaksi dan maklum balas diterima. Jika dilihat dari sudut akal dan logik, perkara ini dianggap sebagai satu kejayaan dalam membongkar konspirasi jenayah yang melibatkan pemimpin tertinggi negara.
Terdapat juga pelbagai pendedahan lain yang telah dilakukan atas dasar hak asasi manusia dan kebebasan bersuara demi memberi kepuasan kepada pihak tertentu tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap negara.
Inilah kesannya apabila akal dan logik dijadikan batu asas dalam mencari keadilan. Perkara ini telah berlaku selama 60 tahun negara merdeka, di mana sistem pengurusan dan pentadbirannya berasaskan akal dan logik.
Faktor ini juga yang menjadi punca kepada segala permasalahan yang berlaku di Malaysia khususnya dan dunia amnya.
Latheefa Koya
Kami mengucapkan setinggi penghargaan di atas segala usaha anda dalam melakukan yang terbaik ketika menjalankan tanggungjawab yang diberikan. Tetapi, akal dan logik tidak cukup dalam memberikan keadilan kepada semua pihak.
Sebagai orang Islam, kaedah terbaik ialah merujuk al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini sahaja solusi terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan atas dasar itu, kami ingin berkongsi dan memberi pandangan agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi demi menjaga erti dan nilai sebuah perpaduan.
Jangan disebabkan akal dan logik menyebabkan perpaduan dan keamanan tidak ada nilai lagi. Usaha anda untuk menyiasat dan mencari bukti demi kepentingan semua pihak dalam konteks pemerintahan negara adalah baik.
Tetapi, usaha anda untuk mendedahkan sesuatu yang belum pasti dan muktamad adalah tidak bijak dan menzahirkan kejahilan anda.
Adalah lebih baik langkah seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya tanpa mendedahkannya kepada umum.
Tugas utama kita sebagai hamba Allah di dunia ini ialah menyeru, mengajak dan mendidik berdasarkan ilmu yang benar. Tugas menghukum ini adalah hak mutlak Allah menerusi undang-undang-Nya dengan merujuk al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
Jawatan anda sebagai Ketua Pesuruhjaya tidak cukup untuk membenarkan anda melakukan sesuatu mengikut akal dan logik. Anda perlu sedar, kita semua adalah hamba kepada Allah dan pasti akan mati.
Adakah anda begitu sempurna sehingga boleh mendedahkan sesuatu kepada umum tanpa berfikir mengenai kesan jangka panjang? Di sinilah pentingnya Islam, iman dan ihsan. Ingat, anda melakukan semua ini disebabkan Allah belum lagi membuka aib anda. Saranan kami, lakukan sesuatu perkara dengan merujuk al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
Datuk Seri Najib Razak
Kami mengucapkan rasa penghargaan di atas segala jasa dan sumbangan baik anda ketika memimpin negara. Atas dasar itu, kami ingin menzahirkan rasa terima kasih dengan mendoakan agar anda diberikan taufiq dan hidayah untuk terus melakukan lagi perkara kebaikan.
Dalam keadaan sekarang, anda perlu bersyukur di atas ujian yang diberikan oleh Allah. Sesungguhnya ujian ini adalah kasih sayang Allah untuk anda muhasabah diri dalam menjalani sisa-sisa baki kehidupan yang ada.
Apa yang penting sekarang ini ialah fokus kepada kehidupan di sana nanti. Perbaiki kehidupan dalam keluarga anda agar menjadi contoh kepada masyarakat dan semoga menjadi saham akhirat anda.
Sebagai individu yang berpengaruh dan mempunyai ramai penyokong, inilah masa yang terbaik untuk anda mengajak dan menyeru rakyat untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebelum dijemput menghadap Allah SWT.
DAP, MCA, MIC dan rakyat Malaysia
Kami berasa gembira dan berterima kasih di atas sikap toleransi dan segala kebaikan yang telah anda lakukan. Memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak dalam konteks negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
Namun, dalam konteks perpaduan, keadilan dan kebahagiaan, kita memerlukan satu matlamat yang sama melalui satu cara hidup yang syumul (lengkap) dan benar. Atas dasar itu, agama memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat berkenaan.
Satu perkara penting yang ingin disampaikan di sini ialah segala masalah yang berlaku di Malaysia khususnya dan dunia umumnya tidak ada kaitan langsung dengan Islam.
Masalah berpunca dari sikap manusia yang melibatkan pelbagai bangsa berlatarbelakangkan pelbagai ideologi. Dalam konteks perpaduan dan keadilan yang melibatkan pelbagai kaum, segala masalah dapat diselesaikan dengan kembali kepada agama.
Persoalannya, apakah agama yang boleh membawa kepada perpaduan dan keadilan dalam konteks pemerintahan negara?
Sudah semestinya agama Islam yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Kami mohon dan ingin menegaskan atas dasar kasih sayang bahawa Islam itu tidak boleh dinilai dengan sikap dan pandangan yang diberikan oleh individu tertentu.
Tetapi, perlu dilihat, dikenali dan difahami melalui al-Quran dan Sunnah Rasulullah dengan cara menuntut ilmu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Kami berterima kasih di atas segala kebaikan dan pengorbanan yang telah dilalui dalam usaha menegakkan keadilan untuk rakyat Malaysia.
Sekiranya anda masih bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan ingin membawa Malaysia ke arah yang lebih baik, seharusnya anda menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman yang melibatkan parti anda, PKR.
Bagaimana anda ingin memimpin negara, sedangkan pada masa sama urusan dalaman parti anda tidak selesai?
Sebagai anak muda, kami tidak mahu masalah dalaman parti anda menganggu usaha kami untuk menjadikan Malaysia ini sebuah negara berkebajikan dalam memberikan keadilan serta kebahagiaan kepada rakyat.
Setelah itu, anda perlu mengkaji sama ada sistem bernegara yang ada sekarang ini dapat membawa kepada perpaduan dan memberikan keadilan kepada semua pihak atau tidak. Sekiranya dua perkara ini tidak dapat diselesaikan, seharusnya anda berfikir kembali dalam meneruskan cita-cita anda untuk menjadi Perdana Menteri.
Tun Dr. Mahathir Mohamad
Kami bersyukur diberikan seorang pemimpin mempunyai semangat juang yang tinggi, berfikiran dan berpandangan jauh. Banyak yang kami pelajari daripada Tun terutama dalam konteks berfikir secara teknikal.
Tetapi, berfikir berdasarkan akal, logik atau al-Quran semata-mata tanpa merujuk kepada hadis serta Sunnah Rasulullah SAW tidak cukup untuk membawa kepada perpaduan, keadilan dan kebahagiaan.
Ini juga bercanggah dengan akidah Islam yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah. Al-Quran itu perlu difahami dan diterjemahkan dalam bentuk perbuatan berdasarkan hadis dan Sunnah Rasulullah.
Berbicara mengenai masalah yang berlaku pada hari ini, seharusnya kita melihat puncanya pada 20 tahun lalu. Apakah telah dilakukan pada tempoh itu? Dalam konteks ini, bukan kesalahan yang ingin dicari, tetapi apakah solusi yang perlu dilakukan pada hari ini demi kepentingan masa hadapan negara.
Jika dilihat kepada keadaan semasa yang sedang berlaku, kami anak muda berasa kurang senang dan kecewa terhadap usaha dan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha untuk membina sebuah negara Malaysia ke arah yang lebih baik.
Isu kecil seperti birokrasi, sehingga kini masih lagi berlaku di Jabatan Perdana Menteri dan kementerian. Ini amat menyedihkan kami sebagai anak muda meletakkan harapan kepada pemimpin yang sedia ada untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
Inilah punca kepada masalah besar yang berlaku pada hari ini apabila soal integriti, ketelusan dan pelantikan pemimpin tidak dilakukan mengikut keahlian dan kelayakan.
Pemilihan pemimpin yang dilakukan melalui politik kepartian dalam konteks pemerintahan negara sudah tidak relevan lagi. Ini kerana sistem demokrasi yang berasaskan politik kepartian membenarkan pemimpin untuk melakukan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
Ini kerana sistem tersebut juga tidak jelas dari segi acuan, sumber dan rujukannya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan dan perlu kepada tindakan segera demi kepentingan semua pihak.
Seharusnya Tun melihat, sistem demokrasi berasaskan politk kepartian tidak langsung membantu ke arah perpaduan dalam konteks pemerintahan negara. Kami anak muda mahukan satu sistem bernegara yang baharu dalam usaha mencapai perpaduan untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Perubahan harus dilakukan bermula dari sekarang dengan melakukannya secara berperingkat. Kami mengharapkan Tun menyelesaikan segala masalah yang ada dengan menggunakan kebijaksanaan berlandaskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
Sesungguhnya Allah memberi peluang kepada Tun untuk melihat sendiri keadaan negara sekarang hasil daripada legasi pemerintahan Tun. Inilah yang dikatakan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya dan seharusnya dimanfaatkan untuk menjadi hamba yang berjaya di dunia dan akhirat.
Sekarang bukan masanya menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya perlu kepada muhasabah diri dan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan segala masalah yang ada.
Dalam konteks pembangunan dan kemajuan negara, biarlah kami anak muda yang memikirkan dan mencorakkannya. Ini kerana, kamilah yang akan menyambung tampuk pemerintahan negara di masa hadapan.
Di sini, kami juga mempunyai solusi untuk memimpin negara ke arah lebih baik pada masa hadapan. Sudah sampai masanya Tun mendengar dan seterusnya menyokong dalam segala bentuk untuk merealisasikan segala perancangan yang telah dibuat untuk masa hadapan.
Sekali lagi, kami mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pemimpin dan rakyat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha membina negara Malaysia ke arah lebih baik.
Bagi mereka yang pernah melakukan kesalahan, pintu taubat masih terbuka untuk kembali ke landasan yang benar. Ini kerana Allah itu Maha Pemurah, Pengampun, Penyayang dan sentiasa menerima taubat nasuha daripada hamba-hamba-Nya. – MalaysiaGazette

Asmarul Nizan Kassim adalah Penganalisis Bebas dan juga Pengerusi NGO, Suara Anak Muda Islam
Teguran penulis seakan tergantung.
Kata kunci yg paling sesuai utk politik negara skrg ini ialah “PELUANG KEDUA”. Najib, ambil la peluang ni utk elak ulang kesilapan sama percayakan kroni dan terlalu bergantung kpd wang utk popular. Skang ni Najib guna Twitter yg free lg popular kot. Kekal shj posisi skrg dlm politik, bantu dr blkg.
TUN, ini peluang Tun saksikan hasil didikan politik Tun jd pemimpin. Nikmati shj kemakmuran dan tegur cara berhemah tanpa konfrantasi dengan anak didik Tun. Yakinlah pd mereka.
ANWAR, anda berpeluang ubah diri anda. Masih mahu rakus kejar jawatan dan mabuk kuasa, suka pucuk muda? Atau dekatilah rakyat dgn cara yg betul. Dulu masa nak kena cekup, cari rakyat. Tp dah berkuasa, tak nampak kelibat dah bersama rakyat. Asik2 ngan kroni parti kamu sahaja.
RAKYAT, kita dah beri peluang kpd kerajaan dan pembangkang berkuasa. Tapi apa kita dapat dan puas hati kah kita? KITA juga ada peluang perbetul pilihan kita lepas ni, jgn kita silap lagi.
ABAH Muhyidin, Abah la peluang bagi kami perbetul balik Negara tercinta ni. Abah jd pembangkang, abah juga dah jd kerajaan, abah pernah jd No 2 ngan 2 pemimin negara. Abah la paling banyak pengalaman. ABAH ada PELUANG untuk jd PM paling berjaya jika ABAH kekal mcm sekarang.
TQ Allah sbb beri kami semua PELUANG KEDUA ini..