Seorang pegawai dari Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memasukan sample air yang mengandungi jentik-jentik ketika Ops Gempur Aedes. foto MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Gelombang kedua wabak denggi dijangka  bermula awal bulan ini sehingga September 2020, berdasarkan trend kes demam denggi yang direkodkan sejak lima tahun lalu, kata Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sejak Januari 2020 sehingga 6 Jun lalu, terdapat sebanyak 48,584 kes demam denggi yang dilaporkan berbanding 54,524 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 (penurunan sebanyak 11 peratus).

Menurut beliau, trend penurunan kes demam denggi ini turut dilihat di kebanyakan negara ASEAN yang lain tetapi sejak enam minggu yang lepas didapati kes demam denggi mula meningkat secara berterusan; iaitu dengan purata peningkatan sebanyak 8 peratus setiap minggu.

“Sepanjang tempoh yang sama bagi tahun ini juga, 84 kematian kes denggi telah dilaporkan berbanding 83 kes pada tahun 2019.

“Berdasarkan siasatan awal terhadap 84 kes kematian demam denggi dalam tahun ini, didapati 11 peratus telah lewat mendapatkan rawatan iaitu tiga hari selepas bermulanya gejala,” katanya dalam sidang media Covid-19 hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan mula dilaksanakan pada 10 Jun ini, lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan bakal dibuka.

Menurut beliau, kemungkinan kebanyakan tempat ini yang lama tertutup dan tiada pergerakan orang ramai lalu berisiko menjadikannya tempat pembiakan nyamuk.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing terutamanya kawasan takungan air dan tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk.

“Usaha membanteras nyamuk Aedes dan demam denggi adalah tanggungjawab kita semua, sepertimana juga masyarakat telah berganding bahu bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19 yang mana tindakan pencegahan perlu diambil selaras dengan norma dan kelaziman baharu bagi mengekang penularan kes demam denggi.

“Misalnya pemilik premis perlu membuat pembersihan di dalam dan di luar premis masing-masing setiap minggu; Mana-mana premis atau ruang bilik yang telah lama tidak beroperasi, hendaklah disembur aerosol pada hari pertama sebelum digunakan.

‘Selain itu, aktiviti larvasiding (iaitu penggunaan secara berkala bahan untuk membunuh jentik-jentik) hendaklah dilakukan dalam bekas takungan air seperti kolam air, pam dan mangkuk tandas serta tempat-tempat lain yang menakung air,” ujar beliau.

Beliau pada masa sama menyarankan rakyat supaya mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan kendiri yang tinggi semasa menjalankan aktiviti pembersihan dengan mewajibkan setiap individu menggunakan perlindungan diri dengan memakai repelen dan pakaian yang menutup anggota badan daripada gigitan nyamuk.

“Sekiranya mengalami gejala demam denggi, segera dapatkan rawatan di fasliti kesihatan yang berhampiran dan penguatkuasaan PKPB atau PKPP tidak sepatutnya menjadi halangan untuk mendapatkan rawatan awal;

“Semua fasiliti kesihatan termasuk Kerajaan dan swasta perlu berwaspada sekiranya terdapat kes disyaki demam denggi ia perlu segera dirawat dan dirujuk sekiranya memerlukan rawatan selanjutnya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette