Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR- Defisit fiskal negara dijangka meningkat kepada enam peratus tahun ini dengan pelaksanaan Pelan Jana Kuasa Ekonomi (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri Jumaat lalu.

Bagaimanapun menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, angka tersebut tidak terlalu tinggi walaupun dalam Bajet 2020, kerajaan menjangkakan defisit adalah pada kadar 3.4 peratus.

“Kita perlu melihat angka ini dari sudut apakah kita mampu untuk membayar hutang semula atau tidak?

“Jumlah keseluruhan hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih di bawah 55 peratus.

“Dengan pelancaran Penjana dan Prihatin, nisbahnya adalah sekitar 55 peratus yang mana kita masih mampu (untuk membayar hutang-hutang tersebut).

“Terdapat had statutori yang mana sekiranya kita melewati paras 55 peratus dan mahu mendapatkan lebih banyak hutang, kerajaan perlu mendapatkan kelulusan Parlimen terlebih dahulu,” katanya dalam temubual bersama NST.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan senario yang lebih buruk berlaku, kerajaan menurut Tengku Zafrul telah bersedia.

Ini tegasnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, mereka perlu menyelamatkan rakyat dan negara terlebih dahulu.

“Kami melihat kepada situasi yang berlaku di negara-negara lain.

“Sudah tentu kita berharap ianya tidak berlaku kepada Malaysia tetapi kita perlu menjangkakan situasi terburuk.

“Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, kami tahu, kami perlu membuat peruntukan.

“Melepasi sasaran defisit tidak penting kerana apa yang perlu diutamakan adalah menyelamatkan negara dan rakyat,” katanya lagi.-

Tambah Tengku Zafrul, dari segi pinjaman asing, had yang ditetapkan adalah sebanyak RM35 bilion dan ketika ini hutang luar negara adalah 15 peratus lebih rendah daripada had berkenaan.

Ujarnya, kerajaan tidak membuat pinjaman asing bagi membiayai pakej-pakej rangsangan yang telah diumumkan.

Defisit tertinggi yang pernah dicatatkan Malaysia adalah 6.7 peratus semasa krisis kewangan global 2009. – MalaysiaGazette