Sebahagian pasukan anggota polis yang bertugas membawa barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB ke dalam trak polis di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyenaraikan alasan mengenai eperluan untuk memeriksa barangan yang telah disita oleh pihak berkuasa daripada keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei 2018.

Dalam hujahnya, Shafee berkata, sebelum ini ketika mendapat kebenaran melakukan pemeriksaan secara fizikal, pihaknya cukup kecewa dengan cara barang-barang sitaan bernilai jutaan ringgit dikendalikan.

Dakwa Shafee, kebanyakan beg berjenama dan mempunyai nilai tinggi hampir musnah dan tidak dijaga dengan baik walaupun secara terang-terangan pihak berwajib mendedahkan nilainya mencecah beratus ribu.

“Beg-beg itu sudah musnah. Malah cara polis melabel barang-barang sitaan itu juga cukup mengecewakan. Walaupun mereka tahu dan secara terbuka dedah barang-barang sitaan bernilai ratus hingga jutaan ringgit.

“Namun cara mereka kendalikan kemudian simpan di bilik kebal itu sebenarnya tidaklah berada dalam keadaan baik. Mereka menunjukan gambar-gambar foto kononnya elok, tetapi apabila diperiksa secara fizikal, ianya berada dalam keadaan menyedihkan.

“Polis juga hanya sekadar menulis barangan-barangan berharga itu ‘A1, A2’ dan seterusnya menggunakan pen marker  tanpa menamakan apakah sebenarnya barang yang dimasukkan dalam kotak-kotak itu. Soalnya apakah barangan yang ada dalam kotak itu? Ada yang hilang tak?

“Saya beri contoh Yang Arif, seperti jika barang itu adalah beg jenama mewah sepatutnya ditulis Hermes, Louis Vuitton dan sebagainya. Mereka (pihak berkuasa) sendiri akui semua itu mempunyai nilai tinggi jadi mengapa ianya dikendalikan sebegitu rupa?

“Kami mohon kebenaran supaya anak guam saya, Datuk Seri Najib bersama-sama pemohon lain untuk memeriksa barangan sitaan yang telah disita ketika pemilik rumah mahupun Datuk Seri Najib berada di rumah.

“Anak guam saya juga ingin memeriksa sendiri keadaan fizikal barangan-barangan peribadi mereka itu, foto rakaman gambar sebenarnya langsung tidak memadai,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini sebentar tadi.

Najib memohon untuk memeriksa barangan yang dirampas polis daripada sebuah unit pangsapuri mewah di Pavilion Residences antara barangannya termasuk jam, beg tangan dan cermin mata mewah.

Kerajaan berkira-kira untuk melucutkan hak beliau ke atas lebih 12,000 barangan termasuk barang kemas, beg tangan, jam, dan mata asing daripada Obyu Holdings Sdn Bhd atas alasan ianya subjek dalam kesalahan pengubahan wang berkaitan dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Barangan untuk pemeriksaan ini adalah sebahagian daripada saman pelucutan hak RM680 juta berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.

Walaupun mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin namun setelah mendengar hujah panjang lebar daripada kedua-dua pihak akhirnya Muhammad Jamil memberikan kebenaran permohonan Najib.

“Saya telah mendengar hujah dari pendakwaan dan pembelaan. Tetapi persoalan di sini adalah peluang harus diberikan juga bagi pembelaan sewajarnya,” ujarnya.

Bagaimanapun setakat ini, tarikh bagi pemeriksaan itu belum lagi ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi. –MalaysiaGazette

Apa yang kamu bimbang sangat Najib periksa sendiri barangan sita?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Barang rosak, saman sahaja ketua pegawai polis yang bangga sangat diri buat operasi tu.

Comments are closed.