Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) susut 51.6 peratus kepada RM736.7 juta pada suku pertama tahun ini berbanding RM1.52 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Penurunan ini disebabkan kerugian tukaran mata wang asing belum direalisasikan bernilai RM388 juta berikutan kedudukan pertukaran mata wang asing yang tidak stabil disebabkan ketidaktentuan ekonomi global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata,, pendapatan kumpulan menyusut 12.0 peratus kepada RM11.65 bilion berbanding RM13.24 bilion pada tempoh sama tahun lalu dipacu oleh pendapatan keseluruhan yang terkesan oleh Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) pada keadaan rebat RM307.5 juta berbanding keadaan surcaj RM1.37 bilion pada suku sama tahun lalu.

Bagaimanapun, jualan elektrik pada tiga bulan pertama tahun ini stabil pada 27,938.2 GWh atau RM11.78 bilion berbanding 28,471.1 GWh atau RM12.03 bilion pada suku pertama 2019.

Margin Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun berikutan penyusutan kos operasi sebanyak 15.4 peratus pada suku tahun pertama 2020.

Katanya, walaupun berdepan dengan cabaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik Covid-19 pada suku kedua tahun ini, TNB masih berada di landasan yang betul dengan pelan transformasinya, ‘Reimagining TNB’.

Amir berkata, TNB akan komited untuk meneruskan polisi dividen antara 30 peratus hingga 60 peratus nisbah pembayaran dividen.

Mengulas mengenai prospek masa depan TNB, Amir berkata, memandangkan pandemik Covid-19 yang masih berterusan dan ketidaktentuan dalam suasana ekonomi global, Lembaga Pengarah menjangkakan cabaran berterusan terhadap prospek Kumpulan TNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Namun, katanya, TNB telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan kestabilan kewangan dan operasinya.

Katanya, TNB terus mengukuhkan tumpuan kepada aset-asetnya di pasaran United Kingdom sebagai platform untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) berdasarkan potensi pertumbuhan yang besar berikutan peralihan global terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui.

Pada bulan Mac 2020, TNB membeli baki 20 peratus kepentingan dalam Tenaga Wind Ventures UK Ltd.

Menurut beliau, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada inisiatif Kumpulan untuk
mengurangkan pendedahan semasa; termasuk penstrukturan semula dan urusan pemulihan dan penjualan semula pelaburan, terutamanya dalam syarikat GAMA (Turki) dan GMR (India) yang masing-masing dimiliki sebanyak 30 peratus oleh TNB.

Bagaimanapun, aset-aset Kumpulan di UK adalah terlindung oleh skim subsidi jangka panjang.

”Sehubungan itu, TNB akan menumpukan kepada aset-aset dan pengalaman pasaran di UK untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021 bagi meneruskan pemerolehan aset-aset operasi dan pembangunan projek baharu,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Klau cara bilkan rakyat pun tak jujur ti la yg kamu dapat. Patutnya seluruh ahli majlis lembaga pengarah tnb dan pengerusi tnb letak jawatan kerana menghampakan rakyat terbanyak.

Comments are closed.