Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar bercakap kepada media selepas selesai membuat laporan polis berkaitan kesahihan dokumen salah guna kuasa Tommy Thomas dan Lim Guan Eng berhubung kes 1MDB di IPD Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2020

PETALING JAYA – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kesahihan dokumen yang tersebar di media sosial berhubung dakwaan salah laku bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar menegaskan, arahan pembatalan pembekuan akaun bank milik seorang individu yang terlibat dalam kes 1Malaysia Development BHd. (1MDB) merupakan sesuatu yang serius, apatah lagi ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

“Kita lihat sejak tersebar dokumen ini di media sosial pada 3 Jun 2020 yang melibatkan kronologi surat-menyurat antara Guan Eng dan Tommy Thomas masih lagi tiada penafian daripada mereka tentang kesahihannya.

“Persoalannya adakah dokumen itu benar dan sahih yang mereka sendiri lakukan sewaktu menjawat jawatan dan kuasa dalam Kerajaan?” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Pada 1 Jun lalu, portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan Guan Eng pernah meminta Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pembekuan melibatkan beberapa akaun bank milik seorang taikun hartanah yang sedang disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkait 1MDB.

Arahan itu dibuat kurang sebulan selepas pihak berkuasa dikritik kerana bersetuju melepaskan Riza Aziz dengan syarat beliau mengembalikan wang yang didakwa diselewengkan daripada syarikat milik negara itu.

Menurut laporan itu, permintaan Guan Eng yang dibuat pada akhir Mei tahun lepas itu dipenuhi peguam negara ketika itu, Tommy, dalam tempoh dua minggu.

Tommy membuat keputusan tersebut walaupun diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang wang sebanyak RM4 juta gagal dipulangkan oleh taikun itu kepada kerajaan.

Susulan pendedahan itu, pada 3 Jun lalu beberapa dokumen menggunakan kepala surat Jabatan Peguam Negara yang ditandatangani Tommy tular di media sosial.

Antara kandungan surat itu ialah Tommy mengesahkan permohonan bekas Menteri Kewangan itu untuk membatalkan pembekuan akuan bank milik taikun hartanah terbabit.

Susulan penularan dokumen salah guna kuasa itu, Tuntut mengemukakan beberapa tuntutan kepada Peguam Negara baharu, Tan Sri Idrus Harun agar semua tindakan perundangan Tommy sebelum ini dinilai semula.

“Tan Sri Idrus perlu mengesahkan adakah tindakan yang telah dilakukan oleh Guan Eng dan Tommy Thomas ini menjadi satu kesalahan apabila mencampuri keputusan dan perbicaraan mahkamah yang sedang berjalan melibatkan kes 1MDB.

“Tan Sri Idrus perlu meneliti semula semua tuduhan dan dakwaan kes yang melibatkan pemimpin-pemimpin parti politik yang dilihat musuh kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu.

“Ini termasuklah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa pemimpin lain,” katanya.

Tegasnya lagi, ini kerana tidak mustahil segala tuduhan adalah bersifat politik kerana tindakan Tommy dan Guan Eng sendiri dengan mencampuri urusan keputusan mahkamah.

“Ia boleh dilihat daripada arahan pembatalan pembekuan akuan
bank salah seorang yang telah menerima duit 1MDB iaitu Lim Soon Peng.

“Seolah-olah kes ini bukanlah sesuatu yang serius dan hanya kuasa untuk membatalkan segala keputusan mahupun menjayakan sesuatu kehenda,” katanya.

Katanya, Tuntut juga menggesa Peguam Negara meneliti semula semua akaun bank yang dibekukan melibatkan entiti dan individu yang dikatakan menerima wang daripada 1MDB.

“Peguam Negara perlu membatalkan pembekuan akuan mereka terbabit dalam menegakkan keadilan dari tindakan “pilih Kasih” yang telah dilakukan oleh Tommy Thomas.

“Adalah tidak adil apabila undang-undang di Malaysia hanya terpakai kepada rakyat marhen dan mereka yang berkuasa bersifat kebal dari segala kesalahan yang menyalahi undang-undang Malaysia.

“Kalau beginilah, akan ramai rakyat Malaysia berasa kecewa, lebih-lebih lagi mereka yang disenaraihitamkan dan muflis oleh bank dan juga mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette