KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel seperti yang dilaporkan.
Menterinya, Datuk Alaxender Nanta Linggi menjelaskan, penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui Automatic Pricing Mechanism (APM) yang dipengaruhi oleh harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia.
“Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan harga dan Aitipencatutan (Penentuan harga runcit maksimum bagi petrol dan diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutuan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai Warta Kerajaan itu bertarikh 3 Jun lalu berkenaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dibuat Pengawal Harga, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad pada 10 April lalu dengan kelulusan Alexander.
Dilaporkan warta tersebut membatalkan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) 2020 [PU (A) 64/2020].
Bagaimanapun, tiada maklumat lain mengenai pembatalan itu dalam Warta Kerajaan yang turut dibuat dalam bahasa Inggeris.
Menurut Alaxender, tujuan perwataan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, katanya, mulai 29 Februari 2020 kementerian itu telah menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Bekalan Kawalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Perubahan mekanisme ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat kementerian itu sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuatkuasa, ujarnya.
Alaxender berkata, dalam menjamin kepentingan pengguna, kementerian itu komited memasikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette